Kerajaan PR – Peruntukan pendidikan RM12 juta untuk semua

Admin
PEMBAIKAN yang dilalukan di Sekolah Rendah St. Xavier hasil sumbangan Kerajaan Negeri PR.
PEMBAIKAN yang dilalukan di Sekolah Rendah St. Xavier hasil sumbangan Kerajaan Negeri PR.

BALIK PULAU – Baru-baru ini, Buletin Mutiara berkesempatan meninjau beberapa buah institusi pendidikan di Pulau Pinang yang dahulunya dipinggirkan kini menampakkan sinarnya. Ikuti tinjauan BM di Pusat Pendidikan Al-Itqan (PPAIQ), Jalan Kampung Masjid, Teluk Kumbar dan Madrasah Miftahul Irfan (MMI), Jalan Sungai Pinang, Balik Pulau di sini.

Tsunami politik yang melanda Pulau Pinang pada Mac 2008 yang lalu bukan sahaja memberi impak dalam pentadbiran Kerajaan Negeri malah turut membawa angin perubahan dalam pelbagai aspek termasuk sosio-ekonomi, sosio-politik dan pendidikan. Malah, dalam hal kebajikan warga Pulau Pinang lebih dititikberatkan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Mudir (Pengetua) PPAIQ, Farizal Hamidon berkata sejak PR mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri, banyak perubahan yang dapat dilihat di sekolah tersebut. Antara yang paling ketara sekali ialah pembinaan bangunan baru bagi pelajar peringkat menengah.

Dahulu pelajar kami belajar dalam kontena sahaja. Kami letak sebelah padang, Sempit. Tapi sejak dua tahun yang lalu, pelajar kami kini miliki bangunan baru, lebih selesa, Alhamdulillah,” ujar beliau.

Beliau menambah lagi, PPAIQ dahulunya dikenali sebagai Sekolah Agama Rakyat Al-Islah, hanya terdiri daripada murid-murid tahun satu sehingga tahun enam. Namun, sejak tiga tahun yang lalu, PPAIQ telah mula mengambil pelajar sekolah menengah dan kini buat julung kali, pelajarnya bakal menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

Sebelum ini tidak ada bantuan dari Kerajaan atau dari mana-mana agensi, tapi sejak dua tahun yang lalu, Alhamdulillah, kami mula menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri dan tahun lalu kami telah menerima RM95,000,” ujar beliau.

Sokongan padu yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dan para waris, menurut beliau, amatlah memberangsangkan. Beliau yakin bahawa, tindakan Kerajaan Negeri adalah untuk memartabatkan sekolah-sekolah agama rakyat, khususnya di bahagian pulau. Dahulu, bantuan melalui permohonan terpaksa memakan masa yang agak panjang dan ia bersifat tidak tetap. Namun kini, bantuan Kerajaan Negeri bukan sahaja meningkat malah kualiti pendidikan yang dituntut juga melonjak naik.

PPAIQ dibina pada tahun 1998, dahulunya dikenali sebagai Sekolah Rendah Agama Al-Islah. Sehingga kini, PPAIQ mempunyai 300 murid sekolah rendah dan 70 pelajar sekolah menengah dengan tenaga pengajar seramai 40 orang. PPAIQ juga berhasrat untuk membina bangunan sendiri atas tanah sendiri di tapak sekolah menengah seluas tiga ekar dengan anggaran kos sebanyak RM8 juta.

Peruntukan yang diterima bukan sahaja untuk penyediaan makmal komputer dan multimedia, perpustakaan, peralatan sukan dan penyediaan peralatan makmal sains malah wang tersebut juga digunakan untuk memyediakan alat bantuan mengajar dan belajar untuk warga PPAIQ,” tambah beliau lagi.

Beliau menyifatkan pemberian peruntukan pendidikan oleh Kerajaan Negeri adalah adil dan pemberian tersebut adalah untuk memartabatkan institusi pendidikan. Beliau turut berpendapat bahawa, institusi pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan kerana institusi pendidikan jauh berbeza prospeknya dengan dunia politik.

Sedih apabila terdapat sesetengah pihak yang mempolitikkan isu pendidikan. Seharusnya anak-anak kita mendapat mutu pendidikan yang terbaik, tak usahlah mempolitikkan segalanya,” ujar beliau mengakhiri perbualan.

Bagi Naib Mudir MMI, Shamsudin, madrasah tersebut yang dibina hampir 20 tahun yang lalu, tidak menerima sebarang bantuan sejak tahun 2007 lagi. Kali terakhir adalah selepas bangunan baru dibina di tapak asas madrasah tersebut. Kini warga MMI mampu tersenyum apabila mereka akan mula menerima semula peruntukan daripada Kerajaan Negeri.

Kami perlukan bantuan kewangan untuk membina dewan solat, asrama dan kelas. Kelas yang sedia ada sekarang ni pun tidak mencukupi, terpaksa menumpang di kantin, bilik tetamu dan perpustakaan,” ujar beliau.

Menurut Shamsudin, madrasah tersebut merancang untuk membina bangunan asrama memandangkan asrama yang sedia ada sangat padat dan kurang selesa.

Kami merancang untuk menambah murid seramai 50 orang setiap tahun, tapi memandangkan kekangan logistik dan dana maka kami terpaksa menunggu,” tambah beliau.

Mudir MMI, Mustafa berkata, tanah wakaf di hadapan bangunan MMI adalah untuk membina bangunan baru MMI. Tanah tersebut kini menjadi penempatan Mudir dan taman permainan buat warga MMI. Beliau amat berharap, dengan adannya bantuan dari Kerajaan Negeri, warga MMI dapat menikmati sedikit kesenangan dan keselesaan untuk meneruskan pengajian.

Para pelajar kita seramai 114 murid dari Malaysia manakala enam lagi dari Kemboja. Manakala tenaga pengajar pula ada dari Pakistan, Malaysia dan Morocco,” tambah Shamsudin.

Sekarang, kita akan usaha untuk dapatkan tanah, untuk membina kelas dan ruang pejabat. Sekarang guru-guru tidak mempunyai ruang pejabat yang selesa,” tambah beliau yang berharap MMI dapat menjadi sebuah institusi pendidikan tahfiz terulung di Pulau Pinang.

Sementara itu, BM turut mengadakan tinjauan di Sekolah Methodist Nibong Tebal (SMNT) yang terpaksa berhadapan dengan masalah ular. Menurut Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Teoh Seang Hooi, mengharapkan agar Kerajaan Negeri dapat menghulurkan bantuan untuk membina tembok di sekeliling kawasan sekolah terbabit demi menjaga keselamatan para murid dan guru. Hal ini kerana meraka telahpun menyuarakan masalah yang dihadapi sejak dahulu lagi, namun tiada tindakan yang diambil.

Tahun lalu, sekolah tersebut telah menerima sejumlah RM45,000 untuk menangani masalah banjir dan serangan anai-anai. Menurut Seang Hooi, sekolah tersebut telah merancang untuk menaiktaraf kantin sedia ada supaya lebih selesa dan selamat memandangkan keadaan meja yang telah usang.

Sekolah Methodist mempunyai sejarah selama 105 tahun. Dalam 80 tahun ini, kami tidak pernah menerima bantuan kewangan sebegini. Jadi, bagi pihak PIBG, kami berasa amat berterima kasih terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” ujar Seang Hooi mengakhiri bicara.

Bagi Sekolah Rendah Kebangsaan St. Xavier, Jalan La’Salle pula, bantuan yang diterima sebanyak RM90,000 digunakan untuk membaiki dinding dan tiang seri bangunan sekolah terbabit yang retak kerana mendapan tanah. Selain menggantikan struktur bangunan sekolah, bantuan turut digunakan untuk pendawaian semula wayar elektrik yang telah berusia lebih dari 20 tahun.

Tak kira siapa yang bantu, asalkan kanak-kanak semua dapat belajar di sekolah ini dengan lebih selamat, selesa dan dalam suasana ceria, kami ucapkan ribuan terima kasih,” ulas wakil sekolah tersebut yang ternyata amat berbesar hati atas bantuan yang diberikan

Dalam pada itu, BM turut berkesempatan menemuramah wakil SJK (T) Ramakrishna, K.Puvaneswary yang ternyata berterima kasih dengan bantuan sebanyak RM72,950 yang diberikan. Menurut beliau, peruntukan yang diterima akan digunakan untuk pembangunan dan pembelajaran murid di sekolah tersebut.

Manakala bagi Mariapan, wakil SJK (T) Sungai Bakap pula sangat terharu dengan bantuan berjumlah RM100,250 yang diberikan oleh Kerajaan Negeri memandangkan sekolah terbabit merancang untuk membeli dan membangunkan tanah untuk membina bangunan baru sekolah tersebut.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan persekolahan sebanyak RM1.75 juta kepada 18 Sekolah Agama Rakyat ; RM8.5 juta kepada sekolah Cina dan Mubaligh (90 buah SJK (C) ; SMJK, 10 ; SM Persendirian, 5 ; SK dan SMK Mubaligh, 24) dan RM1.75 juta kepada 28 sekolah jenis kebangsaan (SJK) Tamil. Sejumlah RM12 juta telah diperuntukkan pada 2011 bagi tujuan pendidikan.

Sejak PR mengambil alih tampuk pentadbiran, Kerajaan Negeri tidak memandang enteng isu pendidikan. Malah Kerajaan Negeri memperkasakan institusi pendidikan demi melahirkan insan yang berilmu dan mampu menjadi pemangkin kepada kepimpinan negara pada masa hadapan. Sayugia, hal yang berkaitan politik tidak perlu dicampuradukkan dengan hal-hal pendidikan kerana ia hanya akan merugikan negara kita sendiri.