Kereta Kabel Bukit Bendera, Kerajaan Negeri buka RFP November 2020

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bukit Bendera (PHC) dijangka mengeluarkan Request for Proposal (RFP) pada November 2020 bagi meneruskan pelaksanaan projek kereta kabel Bukit Bendera, maklum Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Menurut beliau, projek tersebut akan dilaksanakan melalui konsep kerjasama dengan pihak swasta secara Kerjasama Awam Swasta (PPP) dan dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat tahun untuk siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

“Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 3 April 2020 telah menyatakan bahawa permohonan peruntukan bagi projek ini yang diluluskan dalam Belanjawan 2020 pada Oktober 2019 tidak mendapat pertimbangan daripada pihak Kementerian untuk diteruskan.

“Kerajaan Negeri melalui Pejabat Ketua Menteri telah mengemukakan surat rayuan pada 10 Jun 2020 kepada pihak Kementerian Kewangan agar meneliti dan mempertimbangkan semula permohonan peruntukan bagi cadangan pelaksanaan projek tersebut, walau bagaimanapun tiada maklum balas yang diterima sehingga kini.

“Di pihak Kerajaan Negeri, kita tidak boleh duduk dan tunggu sahaja tetapi perlukan satu keputusan muktamad agar keputusan boleh diambil untuk merangka rancangan alternatif,” ujarnya ketika menjawab Soalan Lisan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng sebentar tadi pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Keempat Belas.

Terdahulu, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Oktober 2019 melalui Belanjawan 2020 telah mengumumkan kelulusan sejumlah RM100 juta peruntukan bagi pembinaan sistem kereta kabel baharu di Bukit Bendera yang mana belanjawan berkaitan diumumkan oleh Guan Eng sendiri selaku mantan Menteri Kewangan ketika itu.

Sebelum itu, dalam jawapan lisan sama, Kon Yeow memaklumkan bahawa dalam Belanjawan 2020, sejumlah 167 projek dengan kos keseluruhan berjumlah RM14.90 bilion telah diluluskan oleh Kerajaan PH untuk Pulau Pinang.

“Projek-projek ini adalah terdiri daripada 126 projek baharu dengan kos RM10.52 bilion, manakala 41 projek sambungan (RM4.38 bilion) melibatkan 148 projek fizikal serta projek bukan fizikal (19).

“Status pelaksanaan keseluruhan 167 projek adalah seperti berikut iaitu dalam pelaksanaan sebanyak 13, ikut jadual (122), telah siap (25), lewat jadual (6), sakit (1),” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN