PKPD, Kerajaan Negeri lulus peruntukan bantuan makanan/minuman dan peralatan perubatan kritikal

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM115,984 sebagai bantuan bekalan makanan/minuman kepada kakitangan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang serta pasukan-pasukan keselamatan bertugas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini sejak 15 Oktober lalu.

Sebagai tambahan, turut diluluskan adalah permohonan peralatan perubatan kritikal oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bernilai RM104,390.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, peruntukan berjumlah RM115,984 yang diluluskan sebelum ini adalah meliputi penyediaan makanan/minuman kepada kakitangan bertugas serta bakul makanan kepada keluarga kakitangan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang.

“Ini adalah meliputi kakitangan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang dan anggota serta pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Turut tersenarai adalah pengkalan perubatan (medical base) kepada petugas-petugas perubatan,” ujarnya pada majlis sumbangan yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini sebentar tadi.

Sumbangan berkenaan disampaikan kepada Pengarah Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang, TKP Roslan Mohamed.

Hadir sama, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Dato’ Mohamad Yusoff Mohd. Noor (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua merangkap Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang); Dato’ Abdul Razak Jaafar (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari (Pegawai Kewangan Negeri).

Mengulas lanjut berhubung peruntukan bernilai RM104,390, Kon Yeow menyatakan bahawa JKNPP pada surat bertarikh 15 Oktober 2020 telah membuat permohonan berhubung peralatan perubatan kritikal untuk kegunaan di Penjara Reman dan Penjara Seberang Perai ekoran peningkatan kes-kes COVID-19 membabitkan kedua-dua kluster berkaitan.

“Kerajaan Negeri dengan meluluskan permohonan ini bagi membolehkan kita bersama-sama memutuskan rantaian perebakan wabak pandemik ini,’’ ulasnya.

Pada majlis sama, Roslan turut menerima sumbangan barangan keperluan asas kering yang disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo dan Lee Chun Kit (ADUN Pulau Tikus).

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & ALVIE CHENG
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD