Kereta kabel tarikan baru Bukit Bendera

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BUKIT BENDERA – Cadangan membina laluan alternatif kereta kabel dari Taman Perbandaran (juga dikenali sebagai Taman Belia) dan dari Teluk Bahang ke puncak Bukit Bendera bakal menjadi tarikan baharu pelancongan negeri ini sekiranya ia direalisasikan kelak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pembinaan kereta kabel tersebut telah dirangkumkan dalam Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bukit Bendera yang mula dipamerkan kepada umum mulai 14 November sehingga 11 Disember ini.

“Walau bagaimanapun, laluan alternatif yang dicadangkan belum diperincikan lagi dan tidak ditunjukkan perinciannya dalam pelan RKK.

“Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan kira-kira RM588,578 pada 2011 bagi penyediaan RKK Bukit Bendera ini termasuk RKK Taman Botani untuk mengenalpasti kaedah pengurusan terbaik dan mengenalpasti projek-projek yang sesuai dilaksanakan tanpa menjejaskan ekosistem di sini,” ucapnya ketika hadir merasmikan Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RKK Bukit Bendera di sini baru-baru ini.

Statistik menunjukkan peningkatan kehadiran pelancong yang ketara dari tahun ke tahun iaitu antara 8,000 hingga 10,000 pengunjung sehari terutama ketika musim cuti persekolahan.

Selain kereta kabel, turut dikenalpasti penambahbaikan Summit Centre, Gate House (Pusat Galeri dan Infomasi), pembangunan hotel dan chalet, pemuliharaan laluan pendakian dan mempromosi semula landskap Kediaman Yang di-Pertua Negeri (TYT), Bel Retiro.

“ P r o j e k – p r o j e k y a n g dicadangkan ini bakal menjadi daya tarikan utama serta tambah nilai Bukit Bendera sebagai destinasi pelancongan unggul di rantau Asia.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa memberi perhatian utama pada aspek keseimbangan ekologi dalam perancangan dan pembangunan di sini memandangkan ianya terletak di kawasan sensitif,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai untuk mengemukakan sebarang pandangan sepanjang tempoh Program Publisiti dan Penyertaan Awam berkenaan.

“Sebarang cadangan yang dikemukakan akan diajukan terus kepada Perbadanan Bukit Bendera untuk tindakan selanjutnya yang diurusetia oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD),” katanya.

Hadir sama, Exco Perancangan Bandar dan Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Datuk Abu Jamal Nordin, Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Zainuddin Ahamad dan Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera, Dr. Lawrence Khoo.

Dalam program berlainan, beliau sempat meluangkan masa merasmikan maskot terbaru Bukit Bendera, TuPai dan program sempena cuti sekolah di Bukit Bendera, Dinosaurs Alive@ Penang Hill bermula 15 November hingga 31 Disember ini.