Kereta UPEN dirantai, sidang DUN riuh

Oleh: MOHD HAFIZ TAJUDIN

KERETA rasmi milik UPEN yang dirantai.
KERETA rasmi milik UPEN yang dirantai.

GEORGE TOWN – Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-12 di sini baru-baru ini riuh apabila sebuah kereta rasmi pacuan empat roda dipercayai milik Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) yang diletakkan di bahu jalan perkarangan luar Dewan Undangan Negeri (DUN) dirantai.

Kejadian tersebut hanya disedari apabila sidang dewan beristirehat kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari.

Dipercayai, kenderaan berkenaan telah dirantai oleh Ketua Pemuda Parti Cinta Malaysia (PCM), Liew Yeow Hooi sebagai pengajaran kepada mana-mana ahli politik serta kakitangan kerajaan supaya tidak sesuka hati meletakkan kenderaan sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik bagaimanapun mempertikai tindakan berkenaan.

“Sewajarnya PCM melaporkan aduan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) atau pihak berkuasa tempatan, bukannya mengambil tindakan di luar bidang kuasa mereka,” kata beliau di sini.

Oleh yang demikian, Wei Aik akan membuat laporan polis berhubung hal berkenaan.

Difahamkan, pihak UPEN terpaksa meletakkan kereta berkenaan di lokasi terbabit berikutan tempat letak kereta di perkarangan dewan serta kawasan sekitar telah penuh.