RM33 juta biaya kos sisa pepejal berjaya diselamatkan – Guan Eng

GEORGE TOWN – Lebih 40 peratus atau RM33 juta wang rakyat yang sepatutnya membiayai kos sisa pepejal di Pulau Pinang sejak tiga tahun lepas berjaya diselamatkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kata Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu ketika sesi penggulungan ucapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang berkata, kejayaan itu berpunca dari proses tender semula secara terbuka dengan kontraktor Idaman Bersih Sdn. Bhd..

Beliau berkata proses tender semula tersebut dilakukan melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“(Kerajaan Negeri sekarang) dah berjaya mengurangkan kos bayarannya lebih 40 peratus yang menjimatkan kira-kira RM33 juta dalam tiga tahun,” ujar beliau di DUN, di sini.

Tuntas dari itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, berkata, amalan urus tadbir yang amanah dan berintegriti merupakan salah satu faktor Kerajaan Negeri sekarang berjaya melangsaikan RM230 juta hutang MPSP bagi tujuh tahun berturut-turut sejak 2008 lalu, iaitu ketika Kerajaan Negeri diperintah oleh Barisan Nasional (BN).

Sejak tahun lepas, MPSP mula mencatatkan lebihan keuntungan (surplus) kira-kira RM23 juta.