Kerja baik pulih cerun runtuh harap dapat disiapkan secepat mungkin

Admin
whatsapp image 2025 10 30 at 15.08.40

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar kerja-kerja membaik pulih cerun runtuh di laluan P14 Jalan Tun Sardon, di sini dapat disiapkan secepat mungkin.

Beliau berkata, sehingga kini laluan itu masih lagi ditutup kepada semua kenderaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang tempoh kerja-kerja pembaikan dijalankan.

“Penutupan jalan berkaitan telah menjejaskan ribuan pengguna jalan raya yang terpaksa melalui Jalan Teluk Kumbar dan Bayan Lepas untuk ke mana-mana bahagian lain di kawasan pulau dan Seberang Perai.

“Keadaan ini menyebabkan masa perjalanan pengguna jalan raya menjadi lebih panjang berbanding kebiasaannya.

“Jadi, kita berharap agar semua (pengguna jalan raya) dapat bersabar dan menunggu pembukaan semula jalan berkenaan apabila bahagian yang mengalami runtuhan telah diperbaiki serta disahkan selamat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang media berkaitan penganjuran Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang dekat Wisma Yeap Choe Ee di sini sebentar tadi.

Menurut Kon Yeow, kerja-kerja membaiki cerun di kawasan terbabit akan dijalankan dalam masa terdekat kemungkinan dengan menggunakan kaedah pembinaan tembok penahan konkrit.

“Bahagian cerun yang terkesan dalam kejadian sebelum ini (2018) semuanya telah diperbaiki dan bertahan sehingga beberapa tahun, tetapi runtuhan yang berlaku baru-baru ini adalah melibatkan bahagian yang tidak dipasang benteng konkrit.

“Oleh itu, cerun-cerun di lokasi yang mengalami runtuhan terkini perlu dibaik pulih dengan kaedah yang sama iaitu pemasangan tembok penahan konkrit,” jelasnya.

Sementara itu, dalam isu berasingan, Kon Yeow memaklumkan bahawa seramai 1,201 mangsa daripada 333 keluarga yang terjejas akibat kejadian banjir di tiga daerah sebelum ini ditempatkan di tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Beliau memberitahu bahawa sebanyak tiga daerah di negeri ini terkesan dengan kejadian banjir iaitu di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Barat Daya.

“Kita (Kerajaan Negeri) dimaklumkan bahawa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang layak dalam sedikit masa lagi,” ujarnya sambil menambah bahawa tiada sebarang aset kerajaan yang terjejas akibat kejadian banjir.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT