Kerja-kerja fizikal projek Gurney Wharf dijangka mula akhir tahun ini

PULAU TIKUS – Kerja-kerja fizikal bagi projek Gurney Wharf dijangka bermula pada suku keempat tahun ini dan akan mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa kerja-kerja fizikal projek berkenaan sepatutnya bermula pada Disember tahun lepas tetapi terpaksa ditangguhkan akibat penularan pandemik COVID-19.

“Kita juga akan melantik lima kontraktor iaitu satu kontraktor utama dan empat sub kontraktor pada akhir bulan ini melalui proses tender terbuka.

Kerja-kerja penambakan bagi projek Gurney Wharf telah pun siap sepenuhnya.

 

“Kita tetap akan meneruskan projek ini walaupun situasi pandemik masih berterusan dan saya sangat yakin bahawa kali ini kita dapat menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya pada sidang media ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan dekat sini pada 16 September lalu.

Turut hadir, Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.

Jagdeep berkata, objektif Kerajaan Negeri melaksanakan projek Gurney Wharf adalah untuk membolehkan penduduk di negeri ini menikmati lebih banyak kawasan hijau selain dimanfaatkan sebagai lokasi bagi aktiviti riadah dan rekreasi.

“Kita juga mahu menjadikan projek ini sebagai kawasan rekreasi bertaraf antarabangsa yang akan memberi manfaat kepada penduduk Pulau Pinang secara keseluruhannya.

“Oleh itu, tujuh perunding telah dilantik untuk projek ini yang dijangka menelan belanja kira-kira RM200 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

“Pelaksanaan projek ini dibahagikan kepada Fasa1 dan Fasa 2 yang mana kerja-kerja fizikal bagi kedua-dua fasa ini akan bermula serentak,” jelasnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Ilustrasi projek Gurney Wharf apabila siap kelak.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa fasa pertama projek berkenaan akan merangkumi taman permainan kanak-kanak, skatepark, tandas awam, laluan pejalan kaki, kiosk menjual makanan ringan serta taman rekreasi.

“Fasa pertama projek ini dijangka siap dan akan dibuka kepada orang awam pada suku keempat tahun depan.

Beliau berkata, fasa kedua pula meliputi landskap dan taman rekreasi, kiosk menjual makanan ringan tambahan, tandas awam serta kawasan tempat letak kereta yang dijangka siap pada suku keempat tahun 2023.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep memaklumkan bahawa bilangan rumah mampu milik yang tida terjual di negeri ini menurun pada kadar terendah iaitu 3.6 peratus bagi suku pertama tahun ini.

Angka itu katanya, adalah berdasarkan laporan daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia (NAPIC) yang dibentangkan dalam satu mesyuarat pada minggu lepas.

“Ini bermakna Kerajaan Negeri telah berjaya dalam penyediaan rumah mampu milik yang mana ketika ini hampir mencapai 120,000 unit  dan kita akan terus dengan agenda kita iaitu 220,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI