Kerja-kerja pembersihan pasca tempias Taufan Lekima selesai, Exco zahir penghargaan

GEORGE TOWN – Kerja-kerja pembersihan pokok tumbang pasca tempias Taufan Lekima di kelima-lima daerah di negeri ini telah selesai.

 

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, sehingga 15 Ogos lalu kedua-dua pihak berkuasa tempatan telahpun selesai membersihkan kawasan-kawasan terjejas.

 

 

“Cuma masih terdapat kira-kira 0.48 peratus lagi sisa pokok tumbang yang masih berbaki di tepi-tepi jalan dan perlu dibersihkan sebelum 1 September ini.

 

 

“Saya difahamkan bahawa terdapat 719 pokok tumbang atau 1,402 tan sisa-sisa pokok yang telah dilupuskan yang mana di bahagian pulau sisa ini dihantar ke Batu Maung dan di Seberang Perai (dihantar ke) Ampang Jajar.

 

 

“(Dan) kerja-kerja pembersihan ini menelan kos sebanyak RM977, 910 bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan…demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk selepas Pulau Pinang terkena tempias taufan ini pada 9 Ogos lalu,” katanya pada sidang media di Pangsapuri Mutiara Idaman 1 dekat Sungai Pinang di sini pagi ini.

 

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Pengerusi Badan Pengurusan Pangsapuri Mutiara Idaman 1, Abd. Aziz Naina Mohamad serta wakil-wakil daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Timur Laut.

 

 

JAGDEEP Singh Deo (dua dari kanan) pada sidang media di Dewan Orang Ramai Pangsapuri Mutiara Idaman 1 pagi ini.

Rentetan kejadian itu, Jagdeep memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan telah meluluskan sejumlah peruntukan sebanyak RM2.02 juta kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang (diuruskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri) bagi kerja-kerja membaik pulih struktur-struktur yang terjejas di negeri ini.

 

 

“Setakat hari ini, 93 struktur seperti rumah, premis perniagaan, flat dan lain-lain, di kelima-lima daerah telah dikenal pasti untuk dibaik pulih yang mana melibatkan kos sebanyak RM1,245,156.86.

 

 

“(Dan) daerah Seberang Perai Utara (SPU) paling teruk terjejas akibat tempias Taufan Lekima diikuti dengan daerah Timur Laut,” ujarnya sambil menzahirkan penghargaan kepada 1,487 ‘wira-wira’ daripada MBPP dan MPSP yang bertungkus lumus membantu memulihkan kawasan terjejas.

 

 

Dalam perkembangan sama, Jagdeep turut mengumumkan kos bagi kerja-kerja pembaikan bumbung di Pangsapuri Mutiara Idaman 1 yang rosak akibat taufan yang melanda pada malam 9 Ogos lalu.

 

 

JAGDEEP Singh Deo (depan, kanan), Lim Siew Khim (kiri) dan R.S.N. Rayer (dua dari kiri) meninjau kerosakan bumbung di tingkat atas Pangsapuri Mutiara Idaman 1 dekat sini.

“Kerja-kerja pembaikan ini akan dimulakan hari ini (30 Ogos) dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

 

 

“(Dan) sejumlah RM200,000 diperuntukan bagi membaik pulih kekuda dan penutup bumbung, siling rumah yang rosak serta sistem pendawaian elektrik,” jelasnya yang turut meninjau keadaan di bahagian atas pangsapuri 20 tingkat ini.

 

 

Sementara itu, Abd. Aziz ketika ditemui pemberita berharap agar kerja-kerja pembaikan bumbung dapat disiapkan secepat mungkin.

 

 

ABD. Aziz Naina Mohamad.

“Sebanyak tujuh unit rumah terjejas di tingkat atas yang mana banyak kelengkapan rumah rosak serta rumah dimasuki air setiap kali hujan.

 

 

“Jadi saya amat harap kerja-kerja baik pulih dapat disegerakan bagi membantu mereka yang terjejas.

 

 

“Saya juga ingin berterima masih kepada YB Siew Khim, YB Rayer dan YB Jagdeep kerana membantu badan pengurusan membiayai kerosakan bumbung di sini,” zahirnya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : CHAN KOK KUAN