Kerja mitigasi tangani hakisan pantai Batu Feringghi libatkan tiga fasa projek – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri pada 8 Januari lepas telah melaksanakan langkah mitigasi jangka pendek atau Fasa 1 bagi menangani isu hakisan pantai awam sepanjang 20 meter (m) berhampiran Hotel Shangri-La Golden Sands dekat Batu Feringghi.

Mengulas lanjut, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari menjelaskan bahawa JPS melaksanakan Fasa 2 kerja-kerja mitigasi jangka sederhana melibatkan pantai awam sepanjang 180m di tempat sama, bermula pada 13 Januari lalu.

Tidak cukup setakat itu sahaja, beliau memberitahu bahawa JPS negeri juga akan melaksanakan Fasa 3 langkah mitigasi jangka sederhana sepanjang 42m di kawasan pantai awam yang dikenal pasti mengalami hakisan pada bulan Ogos depan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengulas mengenai isu yang dibangkitkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini berhubung isu hakisan pantai berhampiran Hotel Rasa Sayang dekat Batu Feringghi di sini.

“Hakisan pantai di bahagian Rasa Sayang Hotel adalah di bawah tanggungjawab tuan tanah.

“Pihak Rasa Sayang Hotel telah melantik perunding untuk mengkaji pelan mitigasi bagi tindakan selanjutnya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.

Semalam, Buletin Mutiara mengadakan tinjauan lapangan untuk melihatkan sendiri keadaan pantai yang dilaporkan mengalami hakisan pantai.

Selain itu, Buletin Mutiara turut berusaha mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak hotel yang berkenaan, berhubung laporan berita isu hakisan pantai di Batu Feringghi yang dibangkitkan oleh sebuah NGO berkaitan alam sekitar terbabit.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB