Kerja pembersihan akibat angin kencang selesai hari ini – Exco

GEORGE TOWN – Angin kencang berserta hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di bahagian pulau Pulau Pinang semalam telah menyebabkan berlakunya kejadian pokok tumbang selain struktur bumbung tercabut dan diterbangkan angin.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, berdasarkan pemantauan dan laporan yang diterima terdapat 25 lokasi di sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya yang terjejas akibat pokok tumbang serta kejadian struktur bumbung diterbangkan angin di dua lokasi.

 

JAGDEEP Singh Deo (dua dari kanan) dan Ir. P. Rajendran (kiri sekali) pada sidang media di sini.

“Pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil tindakan segera selepas menerima maklumat berhubung kejadian pokok tumbang.

 

Seramai 65 anggota dan jentera daripada MBPP turut serta dalam kerja-kerja pengalihan pokok-pokok tumbang yang menghalang laluan.

 

 

“(Dan) pagi ini, kerja-kerja pembersihan masih diteruskan yang mana dijangka dapat diselesaikan hari ini,” ujarnya pada sidang media sejurus mengadakan tinjauan di Jalan Zainal Abidin pada 9 Februari 2022.

 

Dalam sidang media sama, Jagdeep memaklumkan bahawa Stesen Kaji Cuaca di kawasan Prangin merekodkan bacaan kelajuan angin langkisau (wind gust) tertinggi iaitu 68km/j.

 

“Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, hanya kerosakan serius ekoran beberapa pokok tumbang dan dahan patah yang menghempap kenderaan dan premis perniagaan,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

 

Sementara itu, Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. P. Rajendran memberitahu bahawa pihaknya sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi kemungkinan bencana.

 

KERJA – kerja pembersihan giat dijalankan di Jalan Zainal Abidin.

MBPP telah menyelesaikan kerja-kerja pengalihan pokok (tumbang) pada pukul 9:30 malam semalam.

 

Bagi kerja pengalihan struktur bumbung yang diterbangkan di dua lokasi juga selesai pada pukul 12:30 malam tadi.

 

 

“(Dan) demi menjamin keselamatan rakyat Pulau Pinang, kami sentiasa bersiap siaga,” jelasnya.

 

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Pulau Pinang melaporkan bahawa kejadian angin kencang yang berlaku semalam adalah berpunca daripada awan kumulonimbus yang membawa ribut petir berskala kecil.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD