Kerjasama & disiplin kunci pemantapan organisasi – Muhamad Yusoff Wazir

Admin

 

SESI wawancara Buletin Mutiara (BM) bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Muhammad Yusoff Wazir terpaksa diatur beberapa kali ekoran jadual beliau yang begitu ketat. Melihat kepada diari beliau, setiap hari, bapa kepada lima cahaya mata ini terpaksa menghadiri atau mempengerusikan sekurang-kurangnya tiga mesyuarat. Dipertanggungjawabkan untuk ’menguruskan’ lebih daripada 10,000 kakitangan awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri, ikuti temubual khas BM bagi merungkai rahsia Muhammad Yusoff yang terus komited dengan amanat dipertanggungjawabkan setelah 28 tahun bergelar penjawat awam.

BM : Pada persepsi luar, bidang tugas Dato’ hanya terhad kepada pengurusan hal ehwal kakitangan awam. Bolehkah Dato’ huraikan serba sedikit tentang tugas dan peranan sebenar Dato’ di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

MUHAMMAD YUSOFF : Sehingga kini, jumlah anggota perkhidmatan awam di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) adalah melebihi 600 orang. Manakala, sekiranya di seluruh negeri Pulau Pinang termasuk jabatan-jabatan negeri, badan-badan berkanun Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), jumlah keseluruhan perjawatan di seluruh negeri Pulau Pinang adalah lebih 10,000 perjawatan. Selain pengurusan sumber manusia, adalah menjadi tanggungjawab saya juga untuk memantau urusan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, urusan protokol dan majlis rasmi yang membabitkan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri, pentadbiran dan kewangan SUK, Pusat Teknologi Maklumat, pengurusan dan penyelenggaraan kuarters serta urusan biasiswa/pinjaman penuntut.

BM : Dengan bidang tugas yang begitu meluas, apakah cabaran yang Dato’ hadapi dan adakah pengalaman selama 28 tahun Dato’ sebagai penjawat awam membantu dalam pelaksanaan tugasan-tugasan berikut kini.

MUHAMMAD YUSOFF : Saya mula memasuki perkhidmatan awam pada 3 Januari 1983 iaitu sebagai Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Ibu Pejabat JPJ di Jalan Dungun, Damansara, Kuala Lumpur. Sepanjang tempoh 28 tahun ini, cabaran yang paling ketara adalah pada aspek kemajuan dalam bidang teknologi maklumat ataupun ICT. Malah, pelanggan kita (orang awam) juga semakin bijak dan profesional, inginkan penyelesaian sesuatu perkara atau perkhidmatan dalam tempoh masa singkat (speed). Namun, sekiranya kita berpegang kepada prinsip asas iaitu sentiasa berdisiplin, rajin dan bertanggungjawab maka, tiada perkara yang mustahil. Tambahan pula, sebagai penjawat awam, kita perlu meletakkan diri kita sebagai pelanggan itu sendiri dan sentiasa membantu orang awam menyegerakan sebarang urusan mereka. Secara ringkas kita perlu sentiasa ‘facilitate’ bukan ‘frustrate’ pelanggan. Prinsip kedua yang ditekankan di sini adalah semangat kerjasama. Banyak urusan kerja boleh diselesaikan sekiranya kita bekerja sebagai satu pasukan dan kita perlu berkongsi wawasan dan matlamat organisasi bersama anggota perkhidmatan awam yang lain.

BM : Tidak dapat dinafikan bahawa kemelutan politik kadang-kadang menjadikan kakitangan awam berbelah bahagi. Walaupun mereka (penjawat awam) hanya bertanggungjawab menjalankan tugas dan berkhidmat untuk ‘government of the day‘, pasti ada yang belum dapat membiasakan diri dengan ‘kerajaan baru’. Apa komen dan saranan Dato’.

MUHAMMAD YUSOFF :Sebagai seorang anggota perkhidmatan awam, kita perlu ’nuteral’ yakni tidak memihak. Malah, sejak hari pertama lagi apabila kerajaan baru mengambil alih tampuk pentadbiran negeri Pulau Pinang, Y. Bhg. Tan Sri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) telah mengeluarkan surat arahan supaya semua anggota perkhidmatan awam memberikan taat setia kepada ’government of the day’ dan bersikap profesional. Mengulas mengenai soalan dikemukakan, saya tidak nampak sebarang isu yang timbul. Malah, melalui pemantauan saya sendiri, dapat dirumuskan bahawa semua penjawat awam mampu menyerap prinsip perkhidmatan berteraskan ’Competency, Accountability dan Transparency’ (CAT) yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri. Bagi saya sendiri, saya sebenarnya rasa bertuah kerana berpeluang berkhidmat untuk dua bentuk kerajaan. Ini merupakan pengalaman baru yang tidak dapat dirasai oleh semua anggota perkhidmatan awam. Dalam masa yang sama pentadbiran SUK Pulau Pinang telah mendapat pengiktirafan empat bintang oleh MAMPU Jabatan Perdana Menteri dan juga ISO 9001:2008 oleh SIRIM pada tahun lepas. Kita dalam usaha untuk mendapatkan 5S dan memperluaskan lagi penarafan ISO 9001: 2008 kepada beberapa perkhidmatan utama Pentadbiran SUK Pulau Pinang pada tahun ini.

BM : Apakah antara pelan yang bakal diwujudkan untuk kemudahan kebajikan penjawat awam di masa hadapan? Misalnya, tempat jagaan bayi atau anak-anak kecil, bilik penyusuan ibu dan lain-lain di Komtar.

MUHAMMAD YUSOFF :Sejak tahun 2006 lagi, semasa saya mulai bertugas di PSUK Pulau Pinang, kita memang bercadang mewujudkan pusat asuhan dan juga jagaan kanak-kanak selain dari menyediakan pusat penyusuan ibu untuk kebajikan anggota perkhidmatan awam di KOMTAR. Walau bagaimanapun, perancangan tersebut tidak dipersetujui oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana kedudukan lokasi yang dicadangkan tidak menepati kehendak keselamatan khususnya di bangunan berbilang tingkat seperti KOMTAR. Bagaimanapun pentadbiran SUK masih menyediakan kemudahan pusat jagaan dan asuhan kanak kanak (TASKA) dan TADIKA di tingkat bawah Pangsapuri Mesra berhampiran Hospital Pulau Pinang.

BM :Apakah hobi Dato’?

MUHAMMAD YUSOFF :Saya minat melakukan riadah dan melancong dalam negeri selain menghabiskan masa bersama keluarga. Membaca merupakan sebahagian daripada kerjaya saya. Ini kerana, kita perlu mengemaskini maklumat dan pengetahuan terkini terutamanya dalam memantapkan sistem pengurusan. Sebagaimana maklum, sistem pengurusan termasuk pengurusan sumber manusia merupakan sesuatu yang dinamik dan sentiasa berubah dan mencabar. Kita tidak boleh selesa (complacent) dengan struktur dan sistem yang sedia ada tetapi perlu peka kepada perubahan yang berlaku di persekitaran.