The Light House Cafe & Bakery – harapan mereka yang dipinggirkan

Admin

 

GAMBAR OLEH : LAW SUUN TING

SERINGKALI Buletin Mutiara (BM) melalui Jalan Penang sekitar jam 4.30 mahupun 5.30 petang, akan kelihatan berduyun-duyun orang tanpa mengira peringkat umur, jantina, agama dan latar belakang memasuki perkarangan sebuah pintu pagar kecil yang terletak di celah kesibukan ibu kota George Town.

Dari situ tersentak hati BM untuk meninjau lokasi tersebut. Hasil tinjauan dan maklumat daripada orang ramai, barulah BM mengetahui bahawa bangunan tersebut ibarat ’destinasi harapan’ kepada golongan yang miskin, dipinggirkan dan tersisih daripada mata masyarakat umum.

Setiap hari, The Light House Cafe & Bakery (TLHCB) yang dibantu oleh lima kakitangan (termasuk seorang sukarelawan) menyediakan sebahagian daripada makanan waktu minum petang untuk kira-kira 120 orang golongan tidak terpinggir yang bertandang ke bangunan Organisasi Pembangunan Manusia Pulau Pinang (Penang Human Development Organisation) di Jalan Penang bagi mendapatkan bekalan makanan, perlindungan dan juga kebersihan diri.

Dengan sumber tenaga yang terhad, TLHCB bukan hanya mampu memenuhi keperluan golongan terbabit, malah, pada masa yang sama, produk yang dihasilkan turut memperoleh permintaan pasaran tempatan termasuk dari syarikat-syarikat korporat, hotel, institusi pengajian tinggi (IPT) dan juga hospital-hospital tempatan selain dijual di TLHCB.

Apa yang unik mengenai TLHCB adalah sebahagian daripada kakitangannya terdiri daripada golongan ’dipinggirkan’ yang sebelum ini turut hadir untuk memperoleh sumber makanan dan perlindungan di sebahagian bangunan dimiliki TLHCB kini.

Pengurus TLHCB , Maria Ng yang sebelum ini terlibat secara aktif di dalam kerja sukarela bagi membantu golongan berkenaan menyatakan bahawa adalah menjadi harapan beliau untuk mengubah golongan tersebut menjadi insan yang mampu berdikari dan mempunyai maruah diri dengan pembetukan semula sahsiah diri.

Setiap minggu, sejak lapan tahun lalu, saya cuba mendekati dan mengenali ’mereka’. Dari sana, saya menyedari bahawa jauh di sudut hati, golongan ini lazimnya mempunyai keinginan untuk kembali ke pangkal jalan. Selain dibelenggu kemiskinan dan rasa rendah diri, sebahagian besar daripada ’mereka’ tidak diberikan peluang untuk kembali ke jalan yang benar setelah tersilap langkah terutamanya apabila memasuki perangkap najis dadah.

Memang tidak dinafikan bahawa masyarakat melihat golongan ini sebagai tidak berguna dan menganggap ia adalah usaha yang sia-sia untuk mengubah ’mereka’. Namun, bagi saya, semakin saya mendekati dan mendalami liku-liku hidup mereka, ia seolah menyuntik harapan kepada sanubari saya untuk bersikap lebih sabar dan perlu memaafkan kesilapan silam mereka,’’ katanya kepada BM di sini baru-baru ini.

Melihat kepada kesungguhan Maria dan suaminya, Joseph Heng yang mempunyai pengalaman di dalam bidang bakeri selama 30 tahun, pasangan yang dikurniakan empat cahaya mata itu kemudiannya ditawarkan oleh pihak pengurusan organisasi untuk menjadi tenaga pengurus kepada TLHCB bermula pertengahan September 2009.

Kini, setiap hari, TLHCB mampu menghasilkan kira-kira 300 biji roti bun berinti, kek, pai ayam, karipap kari ayam, roti sandwich dan lain-lain bagi menampung keperluan kebajikan dan juga pasaran tempatan di seluruh negeri Pulau Pinang. Pada masa sama, Maria turut dibantu oleh dua pekerja di kafe yang menawarkan menu masakan tempatan pada waktu makan tengah hari termasuk sajian bubur (berlainan setiap hari) yang menjadi kegemaran penarik-penarik beca di sekitar kawasan tersebut.

Boleh dikatakan pekerja TLHCB bermula dari ’kosong’. Kami melatih mereka sehingga menjadi tenaga kerja mahir kini. Adalah menjadi harapan kami bahawa pada satu hari nanti, mereka mampu berdikari dan memiliki kedai bakeri ataupun kafe sendiri.

Apa yang lebih membanggakan adalah perubahan yang ditunjukkan oleh beberapa pekerja yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada kelompok ’terpinggir’ yang telah berjaya ’diselamatkan,’’ ujar Maria sambil tersenyum puas.

Bagi Chou Boon Sing, 36, yang merupakan salah seorang pekerja mahir di TLHCB menyatakan bahawa beliau amat gembira kerana diberi peluang untuk mempelajari teknik-teknik bakeri sejak lapan bulan lalu di sini.

Beliau yang sebelum ini membantu bapanya sebagai nelayan menyimpan harapan supaya teknik yang dipelarinya kini dapat digunakan sepenuhnya terutamanya dalam memantap dan mempertingkatkan kemajuan kerjaya dirinya.

Sementara itu, bagi Ang Choon Hua, 52, beliau tidak bercadang untuk menjalankan perniagaan sendiri sebaliknya akan terus setia dengan TLHCB terutamanya berhubung penglibatan aktiviti kebajikan sedia ada.

Saya amat gembira di sini. Selain ramai kawan, Maria dan Joseph melayan kami dengan baik sekali,’’ katanya yang berasal dari Taman Free School.

Bagi tempahan dan maklumat lanjut, sila hubungi talian 04 – 261 0204.