Kerjasama, disiplin tinggi putus rantaian jangkitan COVID-19

Admin

PANTAI JEREJAK – Rakyat perlu memberi kerjasama dan mengamalkan disiplin yang tinggi dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 terutamanya di kawasan membabitkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), seru Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, meskipun pelaksanaan PKPB di Mukim 12, Daerah Barat Daya (DBD) yang berkuat kuasa hari ini sedikit-sebanyak menimbulkan kesulitan atau ketidakselesaan, namun tindakan kawalan pergerakan berkenaan adalah langkah paling komprehensif untuk mengekang penularan wabak ke lokasi-lokasi lain.

“Ia adalah pendekatan terbaik demi kebaikan negeri dan juga rakyat terbanyak. Dari semasa ke semasa, pihak berkuasa akan terus melaksanakan pemantauan rapi melalui sekatan jalan raya serta kemungkinan akan berlakunya perubahan bergantung kepada keadaan.

“Kita (rakyat Malaysia) sudah melalui fasa perintah kawalan ini selama lebih tujuh bulan, justeru saya percaya tahap kesedaran semua sudah mencukupi untuk kita terus berikan kerjasama terbaik kepada pihak berkuasa, dan serentak itu pasukan kesihatan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) juga sedang menjalankan segala usaha untuk melakukan saringan terhadap golongan tersasar yang terlibat.

“Kerajaan Negeri bukan sahaja memantau situasi di Mukim 12 ini, malah juga di seluruh Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri percaya bahawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JKNPP akan melihat keadaan serta membuat keputusan selanjutnya jika difikirkan perlu,” ujarnya ketika melakukan tinjauan sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala Bayan Baru di sini pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Pinang, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid; Nazrul Fazami Mohamad (Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang, MKNPP); Superintendan A.A. Anbalagan (Ketua Polis DBD) dan wakil daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mengiringi tinjauan tersebut.

Serentak itu, Kerajaan Negeri turut menyumbangkan sejumlah 4,000 pelitup muka dan 100 botol pensanitasi tangan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM yang bertugas di kedua-dua SJR berkenaan.

Selain SJR di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, Kon Yeow kemudian bersama-sama Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain turut melakukan tinjauan di SJR Jambatan Kedua Pulau Pinang menghala ke Batu Maung.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menzahirkan rasa lega apabila aktiviti ekonomi khususnya di Mukim 12 masih dibenarkan berlangsung seperti biasa.

“Yang penting dalam tempoh PKPB ini adalah aktiviti ekonomi masih dibenarkan… khususnya di Mukim 12 yang merupakan lokasi Zon Perdagangan Bebas (FTZ) kerana di sinilah rantaian bekalan sektor elektrik dan elektronik (E&E) bagi ekonomi Malaysia serta dunia amnya beroperasi.

“Tinjauan hari ini menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat sudah ada kesedaran dan siap sedia menghadapinya,” ulasnya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz memberitahu bahawa sebanyak 10 SJR diaktifkan di Mukim 12 melibatkan enam kawasan bagi mengawal pergerakan keluar masuk membabitkan lokasi berkaitan.

“Operasi melibatkan 100 kekuatan anggota yang mana setiap SJR masing-masing melibatkan 10 anggota dan sebagaimana saranan YAB Ketua Menteri, kita (PDRM) akan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan,” maklum beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI