Kerjasama industri, kerajaan perkasa pendidikan matematik menerusi program perintis ‘MathQuest’ – TKM II

Admin
0d53f030 9743 4aa1 b79f 49c9617cd48f JAGDEEP Singh Deo (sembilan dari kiri) bersama-sama sekalian pemegang taruh lain dalam sidang media mempromosi dan pelancaran program perintis MathQuest di Komtar pada 14 April 2026.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini terus mengukuhkan ekosistem Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pelancaran program perintis MathQuest dengan menyasarkan penguasaan asas matematik dalam kalangan pelajar sekolah di sekitar Pulau Pinang.

5a3f2a71 8574 4504 9d17 7ce772d906d2
JAGDEEP Singh Deo

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo yang juga Pengerusi STEM negeri berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada strategi di bawah Rangka Tindakan (Blueprint) STEM Pulau Pinang yang bertujuan membina rangkaian bakat mampan bagi menyokong industri utama negeri.

“Rangka tindakan ini bukan sekadar dokumen polisi tetapi merupakan pelan hala tuju strategik untuk menyokong industri seperti elektronik termaju, teknologi perubatan dan inovasi digital yang menjadi tiang utama visi Penang2030.

“Matematik adalah asas kepada semua disiplin STEM (maka) menerusi MathQuest, kita memperkenalkan pendekatan pembelajaran yang lebih menarik, adaptif dan mudah diakses bagi memastikan tiada pelajar yang ketinggalan dalam menguasai kemahiran asas ini,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dalam sidang media berkaitan di pejabatnya, Komtar di sini pada 14 April 2026.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat, turut menzahirkan penghargaan kepada rakan industri, khususnya Flex dan Smith+Nephew serta beberapa pihak lain yang bertindak sebagai penaja utama program berkenaan.

“Komitmen pihak industri melangkaui tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Ini adalah pelaburan tulen untuk tenaga kerja masa hadapan bagi memastikan pelajar kita bukan sahaja cemerlang akademik, malah relevan dengan keperluan industri,” katanya lagi.

Selain pihak industri, beliau berkata kejayaan program perintis tersebut kelak akan berjaya dengan sokongan padu daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) sebagai pihak pemudah cara dalam urusan penyertaan sekolah-sekolah di seluruh negeri.

Buletin Mutiara difahamkan, Pulau Pinang kini mempunyai ekosistem penggerak STEM yang kukuh merangkumi Tech Dome Penang, Penang Science Cluster dan terbaru adalah Penang Math Platform.

Semua pusat ini berfungsi sebagai tulang belakang dalam memupuk minat serta membina kemahiran inovasi dan pemikiran kritikal dalam kalangan generasi muda di negeri ini.

d9a34efc d196 4f7a 9293 55b56a368843
JOHNNY Ong

Sebelum itu, Pengerusi Penang STEM Sdn. Bhd., Johnny Ong turut memberi taklimat berkaitan tujuan serta modus operanding pelaksana projek perintis ‘MathQuest’.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JPNPP, Mohamad Said Ibrahim; Pengurus Kanan Learning & Development Flextronics Technology Sdn. Bhd., D.M.M. Sanjeet; Pengurus Kanan merangkap Ketua CSR Smith & Nephew Operations Sdn. Bhd., Daniel Choo Hong Yee; Pengarah Hamochi Sdn. Bhd., Edison Chow Chee Hang; Pengurus Penang STEM Sdn. Bhd., Nurushsyakirah Ahmad Rushaidi.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bakap Indah, Fadzilah Hasan; Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Mak Mandin, R. Nedumaran; Penolong Kanan 1, Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara, Hashmam Abdarahim; Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Mutiara Perdana, Norzipah Binti Karim antara perwakilan sekolah yang menyertai sidang media mempromosi projek perintis ‘MathQuest’ sebentar tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN