Kerjasama kawal penularan denggi, elak kematian – KM

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI  

PULAU TIKUS – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berharap kes kematian akibat demam denggi di negeri ini dapat dibendung.

Katanya, menurut statistik Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), sehingga minggu ke-33 tahun 2016, negeri ini mencatatkan 12 kes kematian.

“Tahun lepas, iaitu sepanjang tahun, kes kematian akibat demam denggi di Pulau Pinang melibatkan 19 mangsa. Oleh itu, saya harap kes-kes seperti ini dapat dihentikan serta-merta.

“Walaupun keadaan dilihat terkawal, namun, kita (Kerajaan Negeri) tidak mahu lagi ada kes-kes kematian baru.

“Justeru, kita (Kerajaan Negeri) perlukan kerjasama semua pihak khususnya masyarakat untuk menjaga kebersihan, elakkan takungan air serta laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki manamana premis atau tapak yang dipercayai menjadi punca pembiakan nyamuk,” katanya pada sidang media ringkas ketika mengadakan lawatan khas terhadap ahli keluarga mangsa demam denggi di Kondominium Sri Pangkor di sini 23 Ogos lalu.

Pada lawatan tersebut, Guan Eng menyampaikan sumbangan bernilai RM500 kepada abang mangsa, Hew Chong Yong, 63.

Adik Chong Yong, mendiang Siew Nyik Chen, 59, meninggal dunia akibat demam denggi pada 15 Ogos lalu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai.

Mengulas lanjut, Guan Eng meminta penduduk kawasan Daerah Timur Laut (DTL), daerah Seberang Perai Utara (SPU), daerah Seberang Perai Tengah (SPT) supaya lebih berhati-hati mengenai penularan wabak denggi.

“DTL ada empat kes, SPU (tiga), SPT (empat) dan Daerah Barat Daya, DBD (1), jadi kawasan yang disebut diminta agar lebih berhati-hati,” serunya.

Mengikut statistik sehingga minggu ke-33 tahun 2016 oleh wakil JKNPP, menunjukkan bahawa Pulau Pinang berada di tangga ketujuh dengan 2,034 laporan kes denggi, di belakang Selangor (37,955 kes), Johor (8,510 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya (6,079 kes), Perak (2,619 kes), Kelantan 2,578 kes) dan Sabah (2,302 kes).

Bagi statistik kematian pula bagi minggu ke-33 tahun 2016, Pulau Pinang berada di kedudukan keenam di belakang Selangor (55 kes), Negeri Sembilan (18), Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya masing-masing (14) dan Johor (13).

}