Kerjasama MBPP, PDRM dan JPNPP, 87 buah sekolah setuju wujudkan warden lalu lintas

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) telah mendapat persetujuan 87 buah sekolah bagi mewujudkan warden lalu lintas bagi mengawal lalu lintas di kawasan sekolah pada waktu puncak.

 

 

Menurut Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran, PDRM melalui Unit Trafik akan memberikan latihan mengenai kawalan lalu lintas.

 

 

“Majlis juga telah menasihatkan pihak sekolah untuk menubuhkan satu pasukan ‘ibu bapa penyayang’ dan mencalonkan warden lalu lintas sekolah kepada pihak MBPP bagi mengawal kesesakan di kawasan sekolah.

 

 

“Warden lalu lintas ini disediakan elaun oleh MBPP dan mendapat latihan daripada PDRM bagi mengawal lalu lintas dan keselamatan sekitar sekolah.

 

 

“Majlis juga telah menjalankan satu sesi temuduga calon-calon warden lalu lintas sekolah pada 1 Ogos lepas dan MBPP telah mendapat respons yang baik apabila 87 buah sekolah telah mencalonkan nama warden yang terdiri daripada guru, ibu bapa dan kakitangan sekolah,” jelas Rajendran pada Sesi Taklimat Pelantikan Warden Lalu Lintas Sekolah Oleh PDRM di Town Hall, Padang Kota di sini semalam.

 

Turut hadir, Ahli-ahli Majlis bagi MBPP; Pegawai Kawalan Lalu Lintas Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut; Inspektor Haris Safuan Mohamad dan Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid (HEM) JPNPP, Mohd. Shukri Idris.

 

 

Rajendran dalam pada itu memaklumkan MBPP sejak tahun 2012 sudah menubuhkan Jawatankuasa Kecil Lalu Lintas (kesesakan sekolah) untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi menangani kesesakan lalu lintas di kawasan sekolah.

 

 

Jawatankuasa ini turut dianggotai oleh Ahli-ahli Majlis MBPP, PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan jabatan lain yang terlibat secara langsung.

 

 

“Antara tindakan yang telah diambil termasuklah menjadikan aliran trafik sehala pada puncak, pelebaran jalan bagi mengambil dan menurunkan murid dan membina pelantar kelajuan serta papan tanda mengikut keperluan.

 

 

“Lain-lain termasuklah menyediakan warden lalu lintas, memasang lampu isyarat pejalan kaki dan kerjasama denga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),”katanya lagi.

 

 

Justeru Rajendran berharap, orang ramai dapat mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan warden ketika melalui kawasan sekolah.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD