Kerjasama semua pihak banteras denggi – Exco

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : MARK JAMES

GEORGE TOWN – Semua pihak diminta supaya mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi membanteras pembiakan nyamuk aedes dengan mengawal serta mengurangkan penularan wabak denggi di negeri ini.

Gesaan tersebut disuarakan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin ekoran peningkatan kes wabak denggi yang dilihat beliau semakin serius pada tahun ini.

“Mengikut rekod, secara kumulatif sehingga 14 Mac 2015, sebanyak 1,303 kes denggi dilaporkan berbanding 453 kes bagi tempoh sama tahun 2014. Statistik tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 850 kes iaitu 187.64 peratus.

“Justeru, kerjasama antara semua pihak adalah penting bagi mengekang wabak denggi.

“Lanjutan itu, satu taklimat khas turut diadakan kepada wakil-wakil kontraktor dan pengusaha-pengusaha kawasan perkuburan Cina di seluruh Pulau Pinang,” katanya pada Taklimat Denggi Kepada Pengusaha-pengusaha Kubur Cina Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Menurut Afif, denggi merupakan suatu wabak yang mudah merebak kerana sikap manusia yang mengabaikan penjagaan kawasan sekitar.

“Oleh itu, saya memohon kerjasama semua pihak dalam membanteras wabak denggi termasuk di tanah perkuburan Cina pada perayaan Qing Ming ini dan juga di tapak-tapak pembinaan,” seru beliau.

Mengulas lanjut, Afif memberitahu, mengikut kepercayaan masyarakat Cina, selepas perayaan tersebut, jumlah hujan akan meningkat dan ia merupakan salah satu faktor yang akan menyebabkan aktiviti pembiakan nyamuk aedes di kawasan takungan air contohnya di dalam cawan-cawan minuman yang ditinggalkan di kawasan kubur dalam keadaan ‘terbuka’ selepas upacara sembahyang Qing Ming.

“Justeru, adalah dinasihatkan supaya tidak meninggalkan peralatanperalatan berkaitan atau tidak membiarkan ia dalam keadaan ‘terbuka’,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sehingga kini, sebanyak 109 tapak pembinaan di seluruh Pulau Pinang telah diperiksa dan 18 daripadanya adalah positif pembiakan aedes. Daripada jumlah itu, tujuh daripadanya telah diarah tutup.

“Arahan tutup dikenakan ke atas tapak pembinaan yang didapati mempunyai lebih daripada tiga tempat pembiakan aedes di sesebuah lokasi (tapak pembinaan).

“Bagi jumlah kurang daripada tiga, kompaun RM500 akan dikenakan,” jelas Afif yang turut serta dalam operasi pemeriksaan bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) baru-baru ini.if (document.currentScript) {