Mammo Penang, jaga wanita P. Pinang

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Dalam memastikan kesihatan wanita terjaga di peringkat optimum, Kerajaan Negeri membelanjakan RM2.3 juta untuk pelaksanaan Program Saringan Mamogram Percuma atau Mammo Penang selama tiga tahun bermula 2015 hingga 2018.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya memberitahu bahawa program yang memperoleh kerjasama BP Healthcare Group (BP), Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Penang Sihat dan Pink Penang tersebut menawarkan pemeriksaan mamogram percuma kepada semua wanita Pulau Pinang yang berkelayakan.

“Wanita berusia 35 tahun dan ke atas, merupakan pengundi berdaftar di Pulau Pinang layak dipilih untuk menyertai program ini selain memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Mereka (golongan wanita) akan dikenalpasti oleh Briged Wanita di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dan setiap pemilihan terdiri daripada 40 peserta wanita untuk setiap sesi pada setiap hujung minggu iaitu pada Sabtu dan Ahad.

“Ini bermakna, setiap DUN berpeluang untuk sekurangkurangnya menghantar peserta terpilih tiga kali setahun berdasarkan takwim pemeriksaan yang telahpun disediakan sepanjang tahun,” katanya pada Majlis Perasmian Program Saringan Mammogram Percuma Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus, Pengerusi BP, Datuk Beh Chun Chuan.

Dalam pada itu, Afif ketika ditemui memberitahu bahawa pemilihan BP sebagai pengendali program adalah berdasarkan peralatan dimiliki, kepakaran, profesionalisme kakitangan dan pengalaman selama lebih 30 tahun dalam bidang berkaitan.

“Program ini dijangka akan berterusan sehingga tahun 2018 dengan jangkaan awal mencecah seramai 23, 280 peserta terpilih menjalani saringan mamogram.

“Di samping melaksanakan tanggungjawab, Kerajaan Negeri juga bertekad untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita mengenai ancaman kanser payudara kerana kita (Kerajaan Negeri) benar-benar ‘Sayangi Wanita Pulau Pinang’,” katanya.

Menyentuh mengenai kesedaran wanita terhadap penyakit kanser, Afif memberitahu bahawa kesedaran dalam kalangan masyarakat masih rendah dan tidak menolak kemungkinan kebimbangan kos yang tinggi menjadi salah satu punca ramai wanita enggan menjalani saringan mamogram.

Untuk pendaftaran Program Mammo Penang, sila hubungi:
—

Pejabat MMK Kesihatan: 04 – 262 0862
— PWDC: 04 – 261 2835
— Pusat BP Diagnostik:
i. Pulau: 04- 229 2677
ii. Bukit Mertajam: 04 – 537 5889
— Hospital Pulau Pinang: 04 – 222 5318
— Hospital Seberang Jaya: 04 – 382 7235
— Pink Penang: 04 – 222 5327