GEORGE TOWN – Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi pelancongan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disifatkan sebagai antara faktor penting yang terus memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan utama negara.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada agensi-agensi utama bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di pejabatnya dekat Komtar sebentar tadi.
Menurut beliau, peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi berkenaan amat signifikan dalam mempromosikan Pulau Pinang serta negeri-negeri lain kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi di bawah kementerian yang telah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Pulau Pinang serta negeri-negeri sekitarnya.
“Sehubungan itu, kerjasama yang terjalin ini perlu diteruskan demi manfaat bersama,” ujarnya ketika menyambut kunjungan hormat delegasi berkenaan sebentar tadi.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Pulau Pinang, Dr. Annuar Mohamed; Pengarah Kemajuan Kraftangan Malaysia (Cawangan Pulau Pinang), Mohd. Nabil Fikry Busra; Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Abdul Hadi Che Man; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang; Eezmadyna Azalin Nordin serta Kurator Jabatan Warisan Negara, Siti Syahirah Mohd. Rosli.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut mencadangkan agar lebih banyak pakej pelancongan merentasi negeri diperkenalkan bagi menawarkan pengalaman yang lebih komprehensif kepada pelancong.
“Pakej merangkumi dua atau tiga negeri dilihat lebih menarik berbanding pakej yang hanya tertumpu kepada sebuah negeri sahaja.
“Pada masa sama, pendekatan ini berpotensi memperkukuh daya tarikan produk pelancongan negara secara keseluruhan,” katanya.
Mengulas mengenai pelbagai perancangan pembangunan berkaitan sektor pelancongan dan kebudayaan, Kon Yeow mengakui bahawa kekangan peruntukan menjadi antara cabaran utama dalam merealisasikan beberapa projek yang dirancang.
“Banyak perkara yang boleh dilaksanakan sekiranya peruntukan mencukupi.
“Malah, terdapat pelbagai cadangan dan perancangan yang berpotensi memberi manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan dan kebudayaan negeri sekiranya dapat direalisasikan.
“Namun, usaha pembangunan perlu diteruskan secara berperingkat dan impaknya dijangka dapat dilihat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” jelasnya.
Menyentuh mengenai projek menaik taraf Dewan Sri Pinang, Kon Yeow memaklumkan bahawa projek tersebut telah melalui beberapa fasa pengurusan dan pembiayaan melibatkan pelbagai agensi sebelum diselaraskan semula oleh Kerajaan Negeri.
Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri komited untuk menyokong komponen-komponen penting yang diperlukan bagi memastikan kemudahan berkenaan kekal relevan dan mampu memenuhi keperluan semasa serta masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif NGO dan komuniti tempatan yang sentiasa menyokong usaha mempromosikan warisan, kebudayaan dan identiti negeri.
“Kebanyakan NGO di Pulau Pinang sanggup membiayai sendiri aktiviti yang dianjurkan, dan Kerajaan Negeri pula membantu mengikut keperluan.
“Persatuan kebudayaan, komuniti Peranakan serta golongan warga emas juga memainkan peranan besar dalam memperkukuhkan imej negeri.
“Penglibatan aktif mereka dalam pelbagai program dan aktiviti berkaitan warisan, seni serta kebudayaan bukan sahaja membantu memelihara identiti Pulau Pinang, malah turut menyumbang kepada usaha mempromosikan negeri ini kepada masyarakat luar,” ulasnya lanjut.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT