Persidangan Setiausaha Dewan perkukuh kerjasama institusi legislatif negara – Ketua Menteri

Admin
whatsapp image 2026 06 05 at 11.14.39

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan delegasi Setiausaha Dewan sempena Persidangan Setiausaha-Setiausaha Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia dekat Komtar di sini.

Delegasi yang diketuai oleh Setiausaha Dewan Negara, Parlimen Malaysia, Muhd. Sujairi Abdullah itu turut disertai Setiausaha Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin; Setiausaha Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Azizal Ahmad dan Setiausaha-Setiausaha DUN Se-Malaysia.

Ketika berucap, Kon Yeow menyifatkan penganjuran persidangan berkaitan sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan kerjasama antara institusi legislatif pada peringkat Persekutuan dan negeri, selain meningkatkan keberkesanan pengurusan institusi demokrasi negara.

Beliau berkata, persidangan itu turut menghimpunkan pengalaman, amalan terbaik dan pendekatan baharu yang mampu memperkasakan pengurusan institusi legislatif, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh tadbir urus yang telus, berintegriti dan berpaksikan kepentingan rakyat.

“Institusi Parlimen dan DUN merupakan tonggak utama dalam sistem demokrasi berparlimen yang menjadi asas kepada kestabilan serta kemajuan negara.

“Di sinilah dasar-dasar penting dibahaskan, diteliti serta digubal, selain menjadi medan pelaksanaan prinsip semak dan imbang bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat serta keluhuran Perlembagaan,” ujarnya semasa mengalu-alukan kedatangan delegasi berkaitan di sini sebentar tadi.

whatsapp image 2026 06 05 at 11.14.39 (1)whatsapp image 2026 06 05 at 11.14.36whatsapp image 2026 06 05 at 11.14.34whatsapp image 2026 06 05 at 11.14.40

Menurut Kon Yeow, peranan Setiausaha Dewan amat penting dan strategik dalam memastikan institusi legislatif terus berfungsi dengan berkesan.

Jelasnya, Setiausaha Dewan bukan sahaja bertanggungjawab menguruskan perjalanan persidangan, malah berperanan sebagai pemudah cara kepada proses demokrasi yang teratur, profesional dan berwibawa.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pendigitalan dalam pengurusan Dewan sebagai langkah memperkukuh kecekapan dan ketelusan institusi legislatif.

“Pendigitalan pengurusan Dewan, penggunaan teknologi dalam penyediaan hansard, pengurusan dokumen dan rekod, pembangunan arkib digital serta penyiaran persidangan secara lebih terbuka dan mudah diakses merupakan langkah penting bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan serta keterlibatan rakyat dalam proses demokrasi,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Kon Yeow menegaskan bahawa kemajuan teknologi perlu disokong dengan nilai-nilai teras tadbir urus yang baik seperti integriti, akauntabiliti, profesionalisme dan sikap berkecuali.

“Nilai-nilai ini amat penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi Parlimen dan DUN terus terpelihara serta kekal relevan dalam memenuhi tuntutan semasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited memperkukuh institusi demokrasi, memantapkan tadbir urus serta membudayakan pentadbiran yang berintegriti dan telus selaras dengan Visi Penang2030 yang menekankan pembangunan mampan, inklusif dan berorientasikan rakyat.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa persidangan tersebut mampu menjadi platform bermakna untuk memperkukuh kerjasama antara DUN dan Parlimen, di samping membuka ruang kepada perkongsian idea serta amalan terbaik berkaitan pengurusan legislatif, reformasi institusi dan penerapan teknologi.

“Semoga segala pandangan, cadangan dan amalan terbaik yang dikongsikan sepanjang persidangan ini dapat diterjemahkan kepada inisiatif yang lebih berkesan dalam memperkukuh sistem demokrasi berparlimen negara, sekali gus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” ujarnya.

Pada masa sama, Kon Yeow berharap semua delegasi yang menghadiri persidangan tersebut dapat meluangkan masa menikmati keunikan warisan, budaya dan hospitaliti Pulau Pinang sepanjang berada di negeri ini.

Dalam sesi tersebut, Kon Yeow turut berkongsi pengalaman peribadi beliau memimpin pentadbiran negeri Pulau Pinang terutamanya dalam menyelesaikan pelbagai isu serta permasalahan rakyat.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : LAW SUUN TING