Kerjasama swasta bina rumah demi rakyat

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : OOI ENG KEAT

GEORGE TOWN – Dalam komitmen memastikan rakyat Pulau Pinang dapat memiliki kediaman sendiri, Kerajaan Negeri serta pihak swasta akan terus menjalinkan kerjasama bagi membina rumahrumah kos rendah (KR), kos sederhana rendah (KSR) dan rumah mampu milik (MM) di negeri ini.

Perkara tersebut diulas Exco Perancang Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo pada Majlis Cabutan Undi dan Menandatangani Surat Persetujuan Jual Beli Rumah MM Ramah Pavillion dan KR serta KSR Taman Ria, Teluk Kumbar di sini baru-baru ini.

“Hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri dan pemaju swasta, sebanyak 135 unit rumah kos rendah (KR) serta 135 unit rumah kos sederhana rendah (KSR) bakal diserahkan kepada pemilik masing-masing yang telah menandatangani borang jual beli bagi projek perumahan ini.

“Malah, sejak mengambil alih pemerintahan pada 2008, Kerajaan Negeri telah membina 12, 471 unit rumah kos rendah (KR) dan 7, 608 unit rumah kos sederhana rendah (KSR) di seluruh negeri Pulau Pinang.

“Sebanyak 820 rumah kos rendah (KR) dan 7,874 rumah kos sederhana rendah (KSR) sedang dibina lagi,” ucapnya pada majlis berkaitan.

Turut hadir, Pengarah Urusan M Summit Group, Datuk Albert Moh yang merupakan= pemaju bagi projek perumahan berkaitan.

Mengulas lanjut, Jagdeep menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan pihak yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri langsung tidak membina rumah jenis-jenis disebutkan untuk kepentingan rakyat di negeri ini.

“Kerajaan Pusat melalui skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) jelas lebih teruk apabila masih gagal menyatakan permohonan untuk membina projek PR1MA untuk rakyat negeri ini,” tegas beliau.

Beliau memberitahu, usaha Kerajaan Negeri melalui Program Mission Home Possible dapat dilihat melalui kesedaran dan peratusan permohonan yang amat ketara kini.

Dalam pada itu, Albert menyatakan bahawa projek Ramah Pavillion Taman Ria yang dimulakan awal tahun 2015 dijangka dapat disiapkan pada 2017.

“Projek yang menyediakan 759 unit rumah ini menyasarkan golongan muda dan eksekutif yang tinggal di kawasan Bayan Lepas,” jelas beliau.