Kerjasama USM dan PYDC lahirkan sukarelawan belia

Admin

GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) telah memperkenalkan satu program Sukarelawan Belia bagi membolehkan golongan muda berbakti kepada masyarakat.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata seramai 300 belia telah mendaftar untuk program kesukarelawan itu sejak ia mula diperkenalkan pada tahun lalu.

“Program ini terbuka kepada golongan belia yang berumur di antara 15 hingga 35 tahun dan menetap di Pulau Pinang.

“Namun begitu, mereka yang berumur 35 tahun dan ke atas turut dialu-alukan untuk turut serta untuk menjadi mentor kepada golongan belia dalam kategori tertentu,” ujarnya psds majlis pelancaran orientasi program itu.

Dalam pada itu, menurut Lip Chee alam sekitar, sukan, pendidikan, seni dan budaya adalah antara cabang yang boleh diteroka oleh golongan belia.

“Program ini sebenarnya memainkan peranan yang amat penting dalam menggilap bakat dan sifat kepimpinan untuk kegunaan masa hadapan dalam kalangan belia,” kata beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Hadir sama Timbalan Dekan Universiti Sains Malaysia (USM) (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) Dr Abdul Hadi Zulkafli, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Prof Dr Noor Hazlina Ahmad dan Pengurus Besar Dr Gwee Sui Ling.

Serentak itu, majlis memeterai Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan USM diadakan, di mana PYDC diwakili oleh Lip Chee dan Sui Ling.

Oleh: SITI FATIMAH HUZAIDI
Gambar: TANUSHALINI MOROTER