Naik taraf gelanggang futsal demi galakkan budaya bersukan, kata Exco

Admin

PERMATANG PASIR – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan projek ‘1 KADUN, 1 Futsal’ bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, bagi mencapai objektif tersebut Kerajaan Negeri mengambil langkah menaik taraf gelanggang futsal di setiap KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) bagi kegunaan masyarakat setempat.

“Terbaru, kita memilih untuk menaik taraf gelanggang futsal di Permatang Ara yang dijangka mengambil masa kira-kira 10 minggu untuk disempurnakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor terlibat.

“Oleh itu, saya ingin menyeru kepada penduduk dan pengguna kemudahan sukan ini supaya menjaga kemudahan yang disediakan dengan sebaiknya,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian pembinaan gelanggang futsal dekat Permatang Ara, di sini pada 29 Februari lalu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil.

Mengulas lanjut, Lip Chee memaklumkan bahawa kos bagi penaiktarafan gelanggang futsal berkenaan adalah kira-kira RM278,000 dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

“Justeru, kita juga mengalu-alukan penyertaan daripada pihak swasta secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menaik taraf lebih banyak kemudahan sukan di negeri ini,” ujarnya yang juga ADUN Bagan Jermal.

Sementara itu, Muhammad Faiz ketika ditemui menyatakan bahawa kemudahan gelanggang futsal tersebut bakal dibuka secara percuma kepada penduduk untuk bulan pertama apabila siap kelak.

“Bagi bulan-bulan yang seterusnya, caj akan dikenakan dan kunci boleh diambil di Pusat Khidmat KADUN Permatang Pasir,” jelasnya.

Oleh: SITI FATIMAH HUZAIDI
Gambar : ADUN