Kerjaya sebagai usahawan bukan pilihan terakhir

Admin

BATU UBAN – Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain menyifatkan kerjaya dalam bidang keusahawanan merupakan kerjaya yang menarik dan cabaran yang menanti para graduan akan menjadikan mereka individu yang lebih baik dan berdaya saing.

 

 

Katanya, tanggapan umum, apabila seseorang mahasiswa telah menamatkan pengajian dan bergelar graduan, sudah pastilah mereka akan memasuki alam pekerjaan sesuai dengan kelulusan.

 

 

“Jika kita membincangkan keusahawanan sebagai kerjaya para graduan, ada sesetengah pihak beranggapan ia sebagai kerjaya pilihan terakhir disebabkan graduan tersebut sukar untuk mendapatkan pekerjaan ataupun disebabkan pencapaian pengajian yang kurang cemerlang sewaktu bergelar mahasiswa.

 

 

“Sebenarnya, kerjaya dalam bidang keusahawanan merupakan kerjaya yang menarik dan cabaran yang menanti para graduan akan menjadikan mereka individu yang lebih baik dan berdaya saing,” ujar Abdul Halim ketika merasmikan Karnival Keusahawanan dan Kerjaya Pulau Pinang 2022 dekat Padang Kawad Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pagi tadi.

 

 

Hadir sama, Pegawai Daerah bagi Daerah Timur Laut (DTL), Rosli Halim; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal pelajar dan Alumni USM, Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengarah Pusat Pembangunan Korporat Strategik, Sabri Said dan Bendahari USM, Kamarul Ariffin Ngah.

 

Mengulas lanjut Abdul Halim berkata, untuk menggalakan lebih ramai menceburi bidang keusahawanan, pelbagai insentif dan bantuan telah ditawarkan oleh agensi-agensi di peringkat persekutuan dan negeri.

 

 

“Sebagai contoh, PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) yang telah mengambil inisiatif untuk penambahbaikan Skim Pinjaman Harapan (SPH) daripada pinjaman secara berperingkat mengikut skim bermula RM3,000 ke RM25,000.00 kepada dua skim pinjaman yang telah diitingkatkan jumlah pinjaman daripada RM5,000 ke RM50,000 berdasarkan terma dan syarat.

 

 

“Penambahbaikan ini diharap dapat membantu dalam menggalakkan lebih ramai rakyat Pulau Pinang khususnya para siswazah untuk menceburi bidang keusahawanan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

 

 

Karnival yang berlangsung dari 25 hingga 27 November itu menampilkan 76 gerai pelbagai peniagaan seperti makanan, kosmetik, pakaian serta 50 gerai kerjaya.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD