TELOK AIR TAWAR – Kes demam denggi di Pulau Pinang mencatatkan penurunan yang signifikan sebanyak 34 peratus bagi tempoh sehingga 20 Jun tahun ini, dengan 629 kes direkodkan berbanding 946 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen bagaimanapun berkata, perkembangan positif itu tidak seharusnya membuatkan masyarakat berasa selesa.
“Sebaliknya, orang ramai digesa terus konsisten memperkukuh langkah pencegahan di kawasan persekitaran masing-masing,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata, trend penurunan itu turut melibatkan kes kematian akibat komplikasi denggi apabila hanya satu kematian direkodkan pada tahun ini berbanding tiga kes pada tahun lalu.
“Denggi bukan sekadar angka atau statistik, tetapi di sebalik setiap kes dan kematian, ada keluarga yang kehilangan insan tersayang.
“Justeru, tindakan kita hari ini amat penting untuk memastikan tragedi seperti ini tidak berulang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 sempena Hari Denggi ASEAN Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di Taman Pantai Bersih, di sini, hari ini.
Hadir sama, ADUN Sungai Puyu, Phe Syn Tze; Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri, Mohamed Abdul Rahman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Rozaini Mat Shah; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Mohd. Hafiz Aswad Nadzri; serta Pegawai Kesihatan Daerah SPU, Dr. Izani Uzair Zubair.
Difahamkan, sehingga 24 Jun 2026, Pulau Pinang merekodkan sebanyak 60 wabak denggi secara keseluruhan.
Daerah Timur Laut mencatatkan bilangan wabak tertinggi dengan 27 wabak, diikuti Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah masing-masing 11 wabak, Barat Daya sembilan wabak, manakala Seberang Perai Utara merekodkan dua wabak.
Mengulas lanjut, Zi Sen memaklumkan bahawa statistik tersebut membuktikan ancaman denggi masih wujud dan memerlukan tindakan berterusan serta komitmen semua pihak.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyeru semua pihak agar menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kini giat memperkukuh pendekatan berasaskan komuniti menerusi inisiatif Komuniti Bebas Denggi (KomBeD).
“Langkah ini bertujuan menggalakkan penglibatan aktif setiap individu dan keluarga sebagai benteng utama, memandangkan setiap satu tempat pembiakan Aedes yang berjaya dihapuskan berpotensi besar untuk menyelamatkan nyawa,” jelas beliau.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB