Kes harian COVID-19 meningkat, Exco arah tingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan di bazar Ramadan

GEORGE TOWN – Timbul kebimbangan apabila kes harian positif COVID-19 negara kembali semula ke angka 2,000 (semalam, 15 April mencatatkan 2,148 kes) selepas enam minggu beredar pada angka 1,000.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, di Pulau Pinang jumlah kes harian masih tinggi dan tidak menentu melibatkan kluster pekerja kilang warga asing di kawasan perindustrian.

 

 

JAGDEEP Singh Deo.

 

Kerajaan Negeri mengambil maklum akan situasi ini serta mempunyai perancangan untuk menyediakan lebih banyak penempatan yang sesuai dengan pekerja warga asing ini.

 

 

 

 

“(Dan) kita (Kerajaan Negeri) juga berusaha untuk ‘mengeluarkan’ warga asing dalam kalangan penempatan komuniti setempat bagi mengawal dan mengurangkan kebarangkalian kebolehjangkitan,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pagi ini.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin.

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri turut merancang membina asrama pekerja asing yang mana sehingga kini sebanyak tiga permohonan baharu diterima dengan kapasiti 40,700 penghuni di bahagian Pulau (dua di Daerah Barat Daya, satu di Daerah Timur Laut).

“Dua skim penginapan telah siap iaitu di Mukim 14 Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan Mukim 12 di Batu Maung, Daerah Barat Daya serta menempatkan 6,221 penghuni.

“Lima skim lagi iaitu dua di Mukim 13 Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Mukim 12 Daerah SPS (2) dan Mukim 14 Daerah SPT (1) telah diluluskan dan sedang dalam proses pembinaan serta boleh menempatkan sehingga 27,658 penghuni.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut membenarkan penempatan pekerja kilang di tapak kosong yang sesuai di dalam kawasan kilang atau di skim komersial yang jauh dari perumahan komuniti tempatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika memberi respons terhadap kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kemungkinan berlakunya gelombang keempat kes positif COVID-19, Jagdeep memberitahu bahawa pihaknya telah mengarahkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutama di bazar Ramadan.

“Pembukaan bazar Ramadan perlu dipantau rapi di samping memastikan pematuhan SOP.

Tindakan tegas boleh diambil sekiranya penganjur bazar Ramadan gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Jadi, saya berharap semua pihak termasuk pengunjung di bazar Ramadan dapat mematuhi SOP yang ditetapkan supaya risiko berlakunya gelombang keempat dapat dielakkan,” katanya yang turut mengarahkan MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) tingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan.

Sementara itu, Addnan ketika diminta mengulas isu tersebut memberitahu pemberita bahawa pihaknya melakukan pemantauan setiap hari di 27 bazar Ramadan di bahagian pulau.

“Malah, pihak kami (MBPP) akan menggandakan pemantauan pada hujung mingu kerana menjangkakan peningkatan jumlah pengunjung.

“Sekiranya tidak mematuhi SOP maka arahan menutup bazar Ramadan akan diambil,” katanya.

Difahamkan, terdapat 27 bazar Ramadan di bahagian pulau dan Seberang Perai (42).

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN