Pulau Pinang anjur Online Engineering Jobs Fair 27 – 29 Mei

Admin

GEORGE TOWN – Graduan universiti serta jurutera terlatih yang hilang pekerjaan semasa tempoh pandemik COVID-19 atau mereka yang masih memburu kerjaya lebih baik dengan gaji mampu hidup selesa perlu merebut peluang menyertai Online Engineering Jobs Fair 2021 pada 27 hingga 29 Mei 2021, mulai jam 10:00 pagi hingga 5:00 petang.

P. Ramasamy

Mengumumkan perkara itu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi berkata, pameran kerjaya seumpama itu merupakan pertama kali dianjurkan oleh Kerajaan Negeri bersama-sama beberapa institusi berkaitan serta sesuai untuk memenuhi permintaan tenaga kerja terlatih di negeri ini kini.

“Tenaga buruh yang mencipta nilai dalam ekonomi Pulau Pinang tetapi sesetengah syarikat menjana keuntungan berganda dengan mengambil buruh asing pada kadar upah yang begitu rendah.

“Bagi saya, graduan universiti dan tenaga buruh (bertaraf) warganegara lebih elok diambil bekerja dalam sektor industri negeri supaya mereka dapat menyumbang terhadap pembangunan negara di samping mendapat gaji yang setimpal dengan nilai tenaga buruh mereka.

“Justeru, kita (Kerajaan Negeri) menyokong pesta kerjaya ini kerana Pulau Pinang perlu menarik dan mengekalkan tenaga buruh yang mahir termasuk lepasan universiti dalam bidang kejuruteraan,” jelasnya dalam sidang media mempromosi pameran kerjaya tersebut di Komtar pada 16 April 2021.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Seberang Perai, Institut Jurutera Malaysia (IEM), Institut Kejuruteraan dan Teknologi, Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik Malaysia dan Junior Chamber International (JCI) Pulau Pinang atas sokongan serta kerjasama dalam menjayakan pesta kerjaya tersebut.

Sebelum pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PenExpo Events, Francis Wong selaku penganjur acara memberitahu bahawa pesta tersebut akan disertai oleh 30 hingga 50 syarikat berlatarbelakangkan bidang kejuruteraan serta menawarkan antara 300 hingga 500 peluang kerjaya yang pelbagai.

“Sebagaimana diketahui umum, Pulau Pinang dikatakan sebagai antara ‘Lembah Silikon’ di rantau ini, namun pada masa ini ada kekurangan tenaga kerja dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) yang diperlukan dalam sektor industri, termasuk graduan universiti dalam bidang kejuruteraan.

“Kita akan membuka platform secara online seminggu awal daripada tarikh berlangsungnya pesta kerjaya untuk mereka yang berminat mendaftar masuk ke laman sesawang Online Engineering Job Fair 2021.

“Di sana, pelawat bukan sahaja boleh melihat semua profil syarikat serta peluang kerjaya yang ditawarkan, jika berminat, boleh juga memuat naik resume untuk dipanggil temu duga secara dalam talian juga,” jelasnya sambil memberitahu pihak penganjur mungkin akan mengadakan sidang media sekali lagi untuk mengumumkan laman sesawang berkaitan menjelang penganjuran pesta kerjaya tersebut kelak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN