Kes pukul pegawai kerajaan, KN pandang berat

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengecam dan memandang berat tindakan ganas sekumpulan individu tidak bertanggungjawab yang telah memukul Ketua Penolong Pegawai Daerah Barat Daya, Abu Hassan Omar sehingga menyebabkan bajunya terkoyak di Teluk Bahang baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, ketika kejadian, Abu Hassan dan anggotanya sedang menjalankan tugas penguatkuasaan serta diarahkan untuk merobohkan gerai haram yang kosong, yang sedang dibina dan baru dibina membabitkan 14 buah.

“Ketika kejadian ganas itu berlaku, Ahli-ahli pertubuhan seperti Perkasa dan UMNO berada di kawasan tersebut.

“Sungguhpun terdapat seramai 35 anggota polis, mereka (polis) tidak dapat melindungi seorang pegawai awam kanan ataupun memastikan undang-undang ditegakkan.

“Tidak ada seorang pun ditahan sungguhpun rakaman video adalah amat jelas sekali tentang siapa yang melakukan tindakan jenayah tersebut,’’ tegasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut serta dalam sidang media berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Abu Hassan sendiri.

Mohd. Rashid memberitahu, ekoran kejadian itu, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda sebanyak RM10 ribu atau kedua-duanya sekali kerana menghalang seorang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan kerana mencederakan penjawat awam.

“Adalah dikesali bahawa tindakan penguatkuasaan baru-baru ini yang tidak melibatkan gerai haram sedia ada yang sudah lama berniaga telah dihalang oleh sekumpulan individu yang tidak bertanggungjawab.

“YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah menghubungi Ketua Polis Negeri, Senior DCP Datuk Abdul Rahim Hanafi untuk meminta tindakan tegas diambil kerana ia adalah perkara amat serius yang melibatkan kewibawaan pentadbiran kerajaan dan seorang pegawai awam,’’ jelas beliau.

Tambahnya, dasar Kerajaan Negeri adalah memberikan kuasa budi bicara kepada Pegawai Daerah untuk menguatkuasakan undang-undang bagi gerai haram yang sedang dibina, baru dibina atau kosong.

“Pejabat Daerah hanya bertindak selepas menerima aduan daripada penduduk tempatan.

“Bagi gerai haram yang sudah berniaga untuk tempoh melebihi setahun, ia bukanlah dalam budi bicara Pegawai Daerah. Maka tindakan penguatkuasaan diserahkan kepada keputusan Kerajaan Negeri atau ahli Exco berkenaan,’’ nyata Mohd. Rashid.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri kesal bahawa parti politik dan pertubuhan telah memainkan sentimen perkauman yang bahaya dan jahat untuk menghalang setiap tindakan penguatkuasaan.

“Baru-baru ini, tindakan penguatkuasaan telah diambil di Bukit Mertajam (Seberang Perai Tengah) terhadap penjaja haram yang berniaga ditengah jalan dan menghalang lalulintas. Penjaja haram tersebut telah diminta untuk berpindah ke bahagian tepi jalan dan tiada tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka.

“Sungguhpun ada juga penjaja haram bukan Melayu terlibat, mereka masih terus berniaga, tetapi perniagaan tersebut adalah di bahagian tepi dan bukan di tengah jalan raya tetapi pertubuhan dan ahli parti politik berkenaan membakar sentimen perkauman dengan mendakwa hanya gerai Melayu dirobohkan.

“Kejadian berulang di Teluk Bahang apabila 14 buah gerai kosong dan sedang dibina pula dihalang tindakan penguatkuasaan. Hanya siasatan tegas oleh pihak polis dapat mengatasi masalah yang berleluasa ini,’’ tegasnya.