P.Pinang hos Kejohanan Skuasy Wanita Dunia

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

KUALA LUMPUR – Negeri diberi pengiktirafan dunia apabila dipilih sebagai tuan rumah penganjuran Kejohanan Dunia Skuasy Wanita Ke-30 2013 yang bakal berlangsung pada 14 hingga 21 Mac ini di Subterranean Penang International Convention and Exhibition (sPICE) atau lebih dikenali Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) di sini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pemilihan Pulau Pinang adalah susulan pembatalan penganjuran kejohanan tersebut apabila Hong Kong dan Egypt menolak proposal penganjuran pada tahun lalu.

“Ekoran pembatalan penganjuran pada tahun lepas, pemain (skuasy) Nombor Satu Dunia, Nicol David (Datuk Nicol Ann David) akan ‘menyimpan’ piala pusingan dimenangi pada tempoh lanjutan.

“Kerajaan Negeri berasa ia adalah memalukan apabila Ratu Skuasy Dunia dari Pulau Pinang tidak dapat menambah koleksi kemenangan membanggakan sebagai juara dunia sebanyak tujuh kali yang dimenangi sebelum ini iaitu pada tahun 2005, 2006, 2008 hingga 2012. Rakyat Pulau Pinang lazimnya menunggu dengan tidak sabar untuk beliau (Ratu Skuasy) mempertahankan kejuaraan untuk rekod kali kelapan.

“Berasaskan sebab ini, Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk tampil bagi membolehkan kejohanan 2013 berlangsung dan pada masa sama bagi memberi peluang serta satu peluang unik kepada rakyat Pulau Pinang untuk melihat sendiri Ratu Skuasy beraksi dan diharapkan beliau (Datuk Nicol Ann David) dapat mencapai ramalan untuk memenangi gelaran dunia sekali lagi,’’ katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Sebagai Tuan Rumah Penganjuran Kejohanan Dunia Skuasy Wanita Ke-30 2013 di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng, Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David dan Penganjur Kejohanan, Thomas Chan.

Guan Eng memberitahu, persetujuan pihak Persatuan Skuasy Wanita Dunia (WSA) yang membenarkan penganjuran berlangsung di negeri ini adalah berdasarkan pengiktirafan Pulau Pinang yang memiliki kelayakan pada aspek kemudahan, keselesaan, infrastruktur dan juga pengalaman dalam menganjurkan kejohanan bertaraf dunia sebelum ini.

“Penganjuran program tersebut bakal mencecah RM1 juta termasuk hadiah wang tunai bernilai USD 120,000.

“Lokasi penganjuran perlu berada pada tahap bagus dengan kemudahan berkualiti kepada para pemain dan umum, juga ruang untuk keselesaan perniagaan, perdagangan pameran dan public/player catering.

“Malah, gelanggang pertunjukan tetap atau gelanggang kaca khas juga perlu digunakan untuk perlawanan suku akhir, separuh akhir dan akhir,’’ jelasnya.

Beliau memberitahu, kejohanan tersebut juga bakal memperoleh liputan menyeluruh seluruh dunia.