“Kesal polis enggan gari suspek” – Samad

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWNAhli Jawatankuasa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Teluk Bahang, Abd. Samad Abdul Manaf yang bertindak menghalang seorang lelaki (suspek) dipercayai cuba menghampiri dan mencederakan Ketua Menteri pada sesi lawatan beliau ke Pasar Awam Teluk Bahang menafikan laporan akhbar arus perdana bahawa berlaku pergelutan dalam kejadian berkenaan di sini baru-baru ini.

Sebaliknya, ketika kejadian (pada 30 Jun lalu) kira-kira pada jam 10.40 pagi, beliau, 39, dimaklumkan bahawa suspek dipercayai anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) datang meluru dari arah belakang dengan niat untuk mencederakan Ketua Menteri.

“Pada masa tu, saya jalan bersama Ketua Menteri dan rombongannya, apabila suspek sudah begitu hampir, saya telah memeluk tengkuk dan menolaknya sedikit jauh.

“Tujuan saya berbuat demikian adalah untuk mempertahankan Ketua Menteri dan sesiapa sahaja yang berada di situ yang mungkin terancam dengan tindak-tanduk berbahaya suspek terbabit,’’ katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid dan Pengerusi JKKK Teluk Bahang, Mohd. Amin Nordin.

Pada 30 Jun lalu, Ketua Menteri bersama pucuk pimpinan Kerajaan Negeri turun padang menghadiri Program Mesra Rakyat Parlimen Balik Pulau di sini. Ketika tiba di Pasar Awam Teluk Bahang, dipercayai ahli kumpulan Perkasa telah berada di lokasi dan bertindak kasar sehingga ingin mencederakan Ketua Menteri.

Mengulas lanjut tentang kejadian itu, Abd. Samad memaklumkan bahawa tiada langsung pergelutan atau pergaduhan berlaku seperti yang dilaporkan sesetengah akhbar arus perdana sebelum ini.

“Walaupun terkena tumbukan di bahagian pinggang, saya tidak melawan untuk mengelakkan kejadian tersebut jadi lebih serius,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berasa kesal dengan pihak polis yang enggan menggari suspek walaupun secara terang-terangan bahawa dia (suspek) terlebih dahulu memulakan provokasi.

“Bayangkan kalau pemimpin Barisan Nasional (BN) yang diserang begini, sudah tentu awal-awal lagi penyerang akan menerima akibat dan ditangkap,” tegasnya.

Bagi tujuan keselamatan diri dan keluarga, Abd. Samad telah membuat laporan di Balai Polis Teluk Bahang, Balik Pulau sejurus selepas kejadian.

Abd. Samad Abdul Manaf (tiga dari kiri) menunjukkan salinan laporan polis sambil ditemani Halil Sabri Hamid (dua dari kanan) dan Mohd. Amin Nordin (tiga dari kanan) berhubung tindakan seorang lelaki yang cuba mencederakan Ketua Menteri di sini baru-baru ini.
Abd. Samad Abdul Manaf (tiga dari kiri) menunjukkan salinan laporan polis sambil ditemani Halil Sabri
Hamid (dua dari kanan) dan Mohd. Amin Nordin (tiga dari kanan) berhubung tindakan seorang lelaki
yang cuba mencederakan Ketua Menteri di sini baru-baru ini.