GEORGE TOWN – Kadar diabetes dalam kalangan dewasa di Pulau Pinang yang mencecah 20.5 peratus menunjukkan keperluan masyarakat, khususnya golongan muda, memberi lebih perhatian terhadap pencegahan, pengesanan awal serta amalan hidup aktif.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata demikian pada sidang media pengumuman penganjuran acara Larian Demi Senyum Manis / Ekspo Kesihatan di sini sebentar tadi, sambil menekankan bahawa kerjasama antara sektor kesihatan, pendidikan, sukan dan komuniti penting dalam membentuk masyarakat yang lebih aktif serta sihat.
“Apabila kesihatan, pendidikan, sukan dan komuniti bergerak seiring, kita dapat menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat Pulau Pinang, khususnya golongan muda, untuk menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian,” ujarnya.

Difahamkan, acara Larian Demi Senyum Manis / Ekspo Kesihatan dianjurkan oleh Diabetes Malaysia Cawangan Pulau Pinang (DMPG) pada 15 November 2026 di Padang Kawad Universiti Sains Malaysia (USM). Acara yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-30 DMPG itu turut mendapat kerjasama daripada Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM dan Penang Adventist Hospital (PAH).
Sambil memetik dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, Zi Sen memaklumkan bahawa sebanyak 15.6 peratus orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, iaitu kira-kira seorang daripada setiap enam orang dewasa.
“Lebih membimbangkan, sebanyak 84 peratus individu berusia antara 18 hingga 29 tahun yang menghidap diabetes tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai penyakit berkenaan, sekali gus menunjukkan kepentingan saringan awal dan pendidikan kesihatan dalam kalangan generasi muda.
Kesihatan bukanlah tanggungjawab Kerajaan Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia mahupun badan bukan kerajaan (NGO) semata-mata tetapi perlu melibatkan sokongan semua pihak terutama golongan muda,” jelasnya.
Mengulas mengenai acara Larian Demi Senyum Manis sejauh lima kilometer itu, Zi Sen memberitahu bahawa acara berkenaan bukan sekadar aktiviti larian, sebaliknya menggabungkan aktiviti fizikal, pendidikan kesihatan dan penglibatan komuniti bagi meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan diabetes serta kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Orang ramai digalakkan membawa keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja untuk menyertai program ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengerusi DMPG, Dr. Dicky Ng Teik Kee memberitahu bahawa selepas 30 tahun menjalankan usaha kesedaran dan sokongan berkaitan diabetes, pihaknya mahu memastikan mesej pencegahan turut sampai kepada golongan muda.
Keutamaan kami adalah memastikan generasi akan datang memahami bahawa diabetes juga boleh berlaku kepada golongan muda dan usaha pencegahan perlu dimulakan lebih awal.
“Diabetes bukan hanya isu golongan berusia, kita perlu membina kesedaran dan tabiat hidup sihat sejak usia muda,” ujarnya.
Beliau berkata, DMPG turut menyokong komuniti menerusi ‘Diabetes Support Group Penang’, selain bekerjasama dengan Just Walk Penang melalui program ‘Walk with a Doctor’ dan ‘Penang Walkmen’ bagi menggalakkan masyarakat menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.

Sementara itu, Timbalan Pengarah PKTAAB, USM, Dr. Mastura Mohd. Sopian memberitahu bahawa institusi pendidikan mempunyai peranan penting dalam memastikan golongan muda mendapat pengetahuan kesihatan berasaskan bukti sebelum mereka berdepan masalah kesihatan.
“Golongan muda tidak seharusnya menunggu sehingga menjadi pesakit untuk mula memahami kesihatan mereka.
Universiti mempunyai peranan penting dalam membawa pengetahuan kesihatan berasaskan bukti kepada masyarakat, khasnya golongan muda
“Pihak kami di PKTAAB berharap kerjasama ini dapat menjadi satu tindakan berkesan dalam mengubah gaya hidup ke arah pilihan yang lebih sihat,” jelasnya.

Turut berucap, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PAH, Albin Phua yang menegaskan bahawa penjagaan kesihatan bukan sekadar merawat penyakit, sebaliknya memberi penekanan kepada pencegahan, saringan dan pendidikan.
“Kita juga perlu mengurangkan stigma terhadap diabetes supaya mereka yang hidup dengan penyakit ini tidak berasa dipersalahkan atau malu.
“Mereka juga perlu sokongan dan kerjasama seperti ini dapat perkukuh lagi capaian untuk mendidik masyarakat supaya terus mengamalkan gaya hidup sihat,” ulasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng antara yang hadir dalam sidang media berkenaan, selain wakil-wakil daripada organisasi penganjur serta rakan kerjasama.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai acara Larian Demi Senyum Manis, boleh membuat pendaftaran melalui platform Howei di http://howei.com/event_
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING