SHAH ALAM, SELANGOR – Skuad para badminton Pulau Pinang terus melakar keputusan cemerlang selepas atletnya, Cheah You Zhou, menyumbang pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki SH6 pada Temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 Selangor di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor (KOMBES), di sini, hari ini.
You Zhou mencetak kemenangan bergaya apabila tampil dominan menewaskan pencabar dari Perak, Ahmed Shahputra Abdul Rahim, dalam dua set, 21-11, 21-12.

Kecemerlangan You Zhou tidak terhenti di situ apabila gandingannya bersama Nurul Izzah Mohd. Asri turut menyumbang pingat perak menerusi acara beregu campuran/terbuka SH6.
Biarpun terpaksa melupakan hasrat meraih dua pingat emas selepas tewas kepada gandingan Sabah, Charle Fred Sagunting dan Gladys Grace Didin, 12-21, 17-21, persembahan mereka tetap memukau.

Kedua-dua aksi final berkenaan turut disaksikan barisan kepimpinan sukan negeri termasuk Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Mozakir Buyong Mokhtar; Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) Pulau Pinang, Rohana Yusof; serta Ketua Unit Sains Sukan dan Perubatan Sukan MSNPP, Mohd. Azizi Shafie.

Ditanya kemudian, Penolong Pegawai Belia dan Sukan (Unit Para Atlet) Negeri, Siti Zubaidah Mohd. Lani berkata, pihak pengurusan skuad para badminton negeri pada awalnya hanya menyasarkan satu pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki.
Walau bagaimanapun, beliau berkata bahawa sasaran skuad ditingkatkan selepas melihat aksi bertenaga dan potensi tinggi gandingan You Zhou dan Nurul Izzah.
“Keseluruhannya kita memang sasar satu emas sahaja untuk atlet perseorangan lelaki (You Zhou).
“Namun, bagi beregu campuran, kita mula menyasarkan emas semalam selepas melihat prestasi mereka, dan akhirnya kita berjaya membawa pulang pingat perak,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas acara pengalungan pingat kepada semua atlet selesai.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh skuad para badminton negeri atas semangat kesukanan yang tinggi sejak saingan bermula pada 6 September lalu.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SIEW CHIA EN