Kesiapsiagaan CDERT bantu agensi semasa kecemasan peringkat komuniti berkesan – Ketua Menteri

PAYA TERUBONG – Penubuhan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan susulan pandemik COVID-19 yang masih melanda negara dan negeri kini.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berucap sedemikian semasa acara perasmian penubuhan CDERT MPKK Semarak Api N34 Paya Terubong, Farlim di sini pada 27 Mac 2021.

“Tujuan penubuhan CDERT adalah untuk membantu mengurangkan kesan terhadap satu-satu kecemasan atau bencana di peringkat awam.

“Justeru, kesiapsiagaan terhadap satu-satu keadaan kecemasan di peringkat awam akan memberi bantuan yang berkesan kepada agensi (kerajaan) atau pihak berkenaan demi menjamin (kesejahteraan awam) di kawasan komuniti mereka,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada majlis berkenaan.

Menurut beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong, penubuhan CDERT untuk kerja-kerja penyelamatan nyawa serta harta benda orang awam semasa bencana adalah berdasarkan Syeksyen 8(1) Akta 221.

Susulan itu, beliau berharap CDERT dapat terus melakukan program-program kebajikan yang diperlukan umum semasa pandemik COVID-19, dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) serta saranan-saranan agensi kerajaan yang berkaitan keselamatan awam.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin yang juga ADUN Paya Terubong; Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Y.A.S. Datuk Roslan Wahab turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Pengarah APM Pulau Pinang, Kolonel (PA) Ishak Mohd. Radzi; Penasihat CDERT Farlim, Mejar Bersekutu (PA) Ooi Chao Syhuan serta wakil-wakil agensi kerajaan berkaitan keselamatan awam yang lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut merakamkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam Ke-69 yang disambut pada 24 Mac saban tahun.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI