Pulau Pinang komited tingkat kualiti air sungai negeri – Kon Yeow

KETUA Menteri (depan, tiga dari kiri) serta pemimpin negeri lain diberi taklimat oleh Sr. Rozali Mohamud (depan, kiri sekali) mengenai rancangan pengindahan tanah rizab di Sungai Rambai di sini pada awal pagi tadi.

PADANG LALANG – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya akan terus mengambil langkah proaktif bersama-sama jabatan serta agensi terlibat bagi mengatasi masalah air dan alam sekitar di Pulau Pinang.

KETUA Menteri

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa merasmikan Majlis Gotong-Royong Perdana Sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Negeri Pulau Pinang di tebing Sungai Rambai berhampiran Taman Binjai dekat sini pada 27 Mac 2021.

“Kerajaan Negeri amat mengambil berat akan statistik kualiti air sungai yang semakin merosot dan sangat membimbangkan.

“Kualiti air di Sungai Pinang, Sungai Jawi dan Sungai Juru masih berada antara Kelas III serta IV, dan sungai-sungai lain di negeri kita tidak menunjukkan peningkatan (daripada sudut) kualiti air, malahan menunjukkan trend yang tidak konsisten termasuk Sungai Rambai yang berada pada Kelas III.

“Atas maksud itu, pada pagi ini, Sungai Rambai dekat Bukit Mertajam dipilih sebagai lokasi untuk penganjuran program gotong-royong bersesuaian dengan usaha serta hasrat Kerajaan Negeri untuk mentransformasikan Sungai Rambai menjadi lebih bersih,” ujarnya.

Selain itu, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2019 telah membiayai kerja-kerja pengindahan dan memperbaiki sebahagian daripada 5.09 kilometer (km) panjang Sungai Rambai dengan penglibatan peruntukan sebanyak RM435,000, sementara RM809,000 bagi tahun 2020.

“Pada tahun ini (2021), sebanyak RM200,000 telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja penaiktarafan ban Sungai Rambai dan kerja pengindahan rizab Sungai Rambai bagi manfaat lanjut penduduk di kawasan sekitar,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Pengarah Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang, Ir. Shukri Muslim turut berucap pada majlis sama.

Turut hadir, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang; Exco Infrastruktur dan Pengangkutan merangkap ADUN Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

DUA sukarelawan sedang melakukan kerja-kerja mengutip sisa pepejal di pinggir Sungai Rambai di sini pada awal pagi tadi.

Hampir 150 individu daripada kalangan pelajar, badan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Seberang Perai Tengah (PDTSPT), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) serta penduduk setempat menyertai acara gotong-royong membersihkan tebing Sungai Rambai di sini, dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berwajib yang ketat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : DARWINA MOHD. DAUD