Kesinambungan hidupkan warisan lama, pemilik premis terima pengiktirafan GTWHI

Admin

GEORGE TOWN – Lima lagi premis sekitar bandar raya George Town menerima sijil penghargaan dan plak Pengiktirafan Anugerah Warisan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI).

 

 

 

Penyerahan sijil penghargaan dan plak disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng bersama Pengurus Besar GTWHI, Dr. Ang Meng Chee di premis-premis berkaitan bagi mengiktiraf kesinambungan menghidupkan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO,

 

 

Salah satu daripadanya adalah kedai kasut, Hong Kong Shoe Store. Terletak di Lebuh Kimberly, kedai ini menerima pengiktirafan hasil kerja-kerja jahit tempah kasut kepada pelanggan.

 

Menurut pemiliknya, Wong Meng Hun, kedainya merupakan satu-satunya premis di Pulau Pinang yang masih mempunyai perkhidmatan jahit tempah (custom-made) kasut hasil tangan anak tempatan.

 

 

“Kasut terlalu kecil, terlalu besar boleh datang tempah di sini… kadang-kadang ada juga individu yang berdepan masalah saiz kaki kiri dan kanan tidak sama, jadi boleh tempah dekat saya juga.

 

 

“Saya adalah generasi kedua melakukan kerja ini, apa yang saya tahu, di Pulau Pinang memang tidak ada lagi yang buat kerja-kerja seperti ini, butik-butik besar mungkin ada.

 

 

“Selain menjual kasut, pelajar-pelajar universiti dan kolej dalam jurusan seni reka juga ada datang ke sini untuk belajar seni pembuatan kasut,” ujar penerima ‘Cultural Continuity (Gold Status)’ ini ketika ditemui Buletin Mutiara semalam.

 

 

Premis kedua yang dikunjungi Lai Heng dan Meng Chee adalah kedai songkok tradisional, Haja Mohideen OSM Mohd. Shariff.

 

 

Haja Mohideen merupakan generasi kedua pembuatan songkok di tengah-tengah bandar raya George Town.

 

 

Jelas penerima pengiktirafan ‘Cultural Continuity (Gold Status)’ itu, pembuatan songkok miliknya berdepan cabaran ekoran tiada lagi generasi muda minat melakukan kerja tersebut.

 

 

 

“Kerja ini tidak terlalu susah, mungkin hasil yang kurang lumayan, jadi generasi muda tidak berminat meneruskan legasi ini.

 

 

 

“Mungkin ada kerja-kerja lain yang mereka boleh dapat gaji yang banyak. Ada yang datang belajar dan cuba buat tetapi selepas itu tidak lagi datang, separuh jalan sahaja belajar.

 

 

 

“Untuk penghasilan, satu songkok dianggarkan dalam masa dua jam kalau tumpu pada kerja itu sahaja,” jelasnya yang kini dibantu oleh menantunya di premis dekat Lebuh King.

 

 

 

Difahamkan antara orang kenamaan yang pernah mendapatkan hasil tangan beliau adalah mantan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan mantan Yang diPertua Negeri, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

 

 

Tidak ketinggalan dalam menghidupkan George Town sebagai kota seni dan budaya adalah premis Seang Hin Leong yang menjual produk kraf tangan.

 

 

 

Kebanyakan kraf tangan di sini adalah berasaskan rotan dan kayu.

 

 

 

Pemilik yang juga generasi kedua, Sim Chew Poh memberitahu, perniagaan tersebut telah dimulakan hampir 80 tahun.

 

 

 

“Produk-produk di sini ada yang saya hasilkan sendiri dan juga yang ambil dari luar kerana kalau semua mahu buat sendiri mungkin tidak sempat dan ada barangan yang kita tidak pakar untuk buat sendiri,” kata pemilik yang berusia 66 tahun itu.

 

 

Bagi pemilik Hup Huat Company – Tricycle and Bicycle Repair, Choo Yew Choon, beliau mewarisi bakat membaiki dan membuat beca daripada datuknya. Dalam usia perniagaan hampir 100 tahun ini, Yew Choon mendapati permintaan untuk membuat dan membaiki beca semakin berkurangan dan ini mendorong beliau melebarkan cabang dengan membaiki basikal.

 

 

Turut menerima anugerah sama adalah Tian Hua Arts & Antique dekat Lebuh Pantai.

 

 

 

Sebanyak 31 organisasi dan individu menerima pengiktirafan daripada GTWHI sebagai galakan untuk terus menghidupkan warisan dan budaya di Pulau Pinang.

 

 

 

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD