Ketengahkan isu pembiayaan pinjaman perumahan kumpulan B40

SERI DELIMA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow syorkan Kerajaan Persekutuan supaya mengetengahkan isu pembiayaan pinjaman perumahan khususnya dalam kalangan kumpulan B40.

 

 

Menurut beliau, sebahagian besar pembeli menghadapi kesulitan untuk mendapatkan pinjaman bank setelah menerima tawaran pihak pemaju termasuk daripada agensi-agensi Kerajaan Negeri.

 

 

“Berdasarkan sumber dari laman sesawang HousingWatch.my, kelulusan pinjaman permohonan pinjaman bank telah berkurang sebanyak 1.1 peratus daripada 73.1 peratus bagi tahun 2019 berbanding 72 peratus pada bulan Disember 2020.

 

 

“Khusus bagi negeri Pulau Pinang pula, kelulusan permohonan pinjaman bank telah berkurang sebanyak 1.2 peratus daripada 74.3 peratus bagi tahun 2019 berbanding 73.1 peratus bagi bulan Disember 2020.

 

 

“Umumnya, pembeli-pembeli Rumah Mampu Milik (RMM) A dan RMM B ini juga wajar dibantu kerana kemampuan untuk mendapatkan rumah sebagai keperluan asas adalah agak terhad ekoran pengurangan pendapatan isi rumah impak daripada pandemik COVID-19 kepada sektor ekonomi khasnya,” ucapnya pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah Mampu Milik C3 bagi Projek Ideal Residency, Bukit Gelugor di sini tadi.

 

 

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

 

 

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; Ketua Pegawai Eksekutif  Perbadanan PR1MA Malaysia, Datuk Mohd. Nazri Md. Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Ideal Property Group, Dato’ Goh Teng Whoo.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow  percaya bahawa kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan dapat diterjemahkan melalui pelbagai bentuk program, bantuan serta insentif yang seterusnya bakal dinikmati warga Pulau Pinang.

 

 

Dalam pada itu, Reezal Merican menyatakan bahawa Ideal Residency merupakan satu simbol kerjasama melibatkan Kerajaan Persekutuan melalui Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) bersama Ideal Capital Venture Sdn. Bhd. dan Kerajaan Negeri.

 

 

“Di sini, saya juga ingin mengumumkan dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang akan dibawa ke Pulau Pinang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

 

 

“Walaupun diminta lima, kita beri dua dahulu, kita tengok keadaan sebab ada permintaan daripada negeri-negeri lain juga,”  jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas.

 

 

Reezal Merican dalam pada itu turut memuji Visi Penang2030 yang meletakkan sasaran 220,000 penyediaan unit rumah sebagai keutamaan.

 

Melalui Projek RMM Ideal Residency (Fasa 1), sejumlah 1,218 unit RMM C3 dengan keluasan 850 kaki persegi sedang dibina.

 

 

 

Fasiliti mewah yang dicadangkan dalam pembangunan projek adalah seperti kolam renang, gelanggang badminton dan bola keranjang, jakuzi, taman rekreasi, kawasan permainan kanak-kanan, gimnasium, dewan komuniti dan lain-lain berkaitan.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : ALISSALA THIAN