Ketepi perbezaan, bantu rakyat teruskan kehidupan dalam tempoh pandemik – TYT

GEORGE TOWN – Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak berharap agar semua wakil rakyat di negeri ini dapat mengetepikan perbezaan dan memberi fokus untuk membantu rakyat keluar daripada krisis pandemik COVID-19.

Beliau berkata, semua pihak tanpa mengira parti politik perlu berganding bahu sebagai satu pasukan bagi membolehkan aktiviti kehidupan rakyat dan ekonomi negeri dapat kembali pulih seperti sedia kala.

“Walaupun negara sedang menghadapi tempoh pandemik, saya amat berharap agar projek-projek untuk kemudahan rakyat yang disusun dan dirancangkan oleh Kerajaan Persekutuan serta Negeri dapat disiapkan mengikut jadual.

TYT, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak semasa merasmikan persidangan DUN Pulau Pinang pagi tadi.

“Perkara ini penting bagi penyampaian perkhidmatan kerajaan terhadap rakyat di samping memacu ekonomi negara secara dalaman.

“Justeru, saya berharap supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak mengira parti, kerajaan atau pembangkang dapat memberi fokus dan iltizam untuk membantu rakyat meneruskan kehidupan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; Ketua Pembangkang, Dato’ Muhamad Yusoff Mohd. Noor; Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; Ahli-ahli Exco serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ahmad Fuzi dalam pada itu, turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pentadbiran Kerajaan Negeri dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Tun Ahmad Fuzi bergambar kenangan bersama-sama Ketua Menteri dan ADUN Air Putih, Lim Guan Eng.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan YAB Ketua Menteri kerana telah mentadbir dengan baik di saat negeri dan negara kita dilanda pandemik COVID-19.

“Sesungguhnya, pandemik COVID-19 ini amat menguji barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang mana ia tidak pernah dialami sebelum ini.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada para barisan hadapan (frontliner) yang telah bekerja keras dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri ini,” ucap beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Fuzi turut mengingatkan bahawa pembekalan vaksin yang mencukupi adalah penting untuk memastikan kejayaan program vaksinasi di negeri ini.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas pembekalan vaksin untuk rakyat Pulau Pinang yang mana sehingga 26 Ogos lalu, seramai lebih 1.1 juta penduduk telah menerima suntikan dos pertama.

Kibaran bendera Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 711,454 telah melengkapkan dua dos vaksin atau bersamaan dengan 40.1 peratus populasi penduduk negeri ini,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Ahmad Fuzi turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengorak langkah untuk mendapatkan hasil baru sejajar dengan perkembangan pembangunan negeri mutakhir ini.

“Hasil yang berjaya dikutip bagi tahun 2020 adalah sebanyak RM467.56 juta, iaitu 90.06 peratus daripada anggaran (RM519.16 juta) manakala bagi tahun 2021 pula, sebanyak RM386.90 juta hasil berjaya dikutip iaitu 76.46 peratus daripada anggaran (RM506.02 juta).

“Saya dimaklumkan bahawa hasil sedia ada tidak dapat dikutip sepenuhnya disebabkan pengecualian kutipan hasil yang diluluskan dengan pengecualian terbesar adalah bagi hasil cukai hiburan dan sewaan atau pajakan,” katanya.

Tambah beliau, Pulau Pinang merekodkan penyusutan negatif 2.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2020 berbanding pertumbuhan 3.8 peratus pada tahun sebelum ini.

“Namun, berdasarkan kepada statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, semua negeri mencatatkan penyusutan kepada KDKN bagi tahun 2020,” ulasnya.

Beliau menambah, penurunan di Pulau Pinang pada tahun 2020 adalah dipengaruhi oleh sektor perkhidmatan, yang menguncup 5.7 peratus berbanding 5.5 peratus (2019) yang didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, penginapan serta makanan dan minuman.

ADUN turut mengambil peluang berswafoto.

“Selain itu, penurunan dalam subsektor pengangkutan dan penyimpanan, hartanah serta perkhidmatan perniagaaan turut mempengaruhi prestasi sektor ini.

“Namun begitu, pertumbuhan lebih baik dalam produk elektrik, elektronik dan optikal pada tahun 2020 telah menyokong prestasi sektor pembuatan untuk meningkat 2.8 peratus berbanding 2.7 peratus (2019).

“Pertumbuhan positif di sektor pembuatan, sedikit sebanyak telah mengurangkan kesan kemerosotan ekonomi di Pulau Pinang,” tegasnya.

Walau bagaimanapun, Ahmad Fuzi menyatakan bahawa prestasi pelaburan bagi negeri Pulau Pinang pada tahun ini masih menunjukkan data yang memberangkan.

“Meskipun terdapat banyak ketidakpastian global, pencapaian pelaburan pembuatan berjumlah RM14.1 bilion pada tahun 2020 adalah yang kedua tertinggi dalam sejarah Negeri Pulau Pinang.

“Malah, pada suku tahun pertama 2021, Pulau Pinang telah mencatatkan nilai pelaburan pembuatan berjumlah RM1.1 bilion, merangkumi 40 projek yang dianggarkan mampu mewujudkan 2,328 peluang pekerjaan baru di negeri ini,” jelas beliau lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Fuzi memuji komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memartabatkan syiar Islam di negeri ini menyediakan peruntukan pembangunan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Komitmen ini ditingkatkan dengan kelulusan peruntukan pembangunan tahun 2021 adalah sebanyak RM18.61juta iaitu meningkat sebanyak RM7.518 juta dari tahun lepas.

“Selain itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan telah membina banyak masjid baharu serta menaik taraf masjid di Negeri Pulau Pinang,” ulasnya.

Malah kata Ahmad Fuzi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga terus prihatin dengan perkembangan pendidikan di institusi pendidikan Islam di negeri ini.

“Ini adalah merangkumi Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas Al-quran dan Fardu ‘Ain (KAFA), Maahad Tahfiz, Pusat Tahfiz, Sekolah Rendah dan Menengah Tahfiz, pondok-pondok pengajian tradisional serta Sekolah Rendah dan Menengah Agama Rakyat yang kini berjumlah 331 buah.

“Selain itu, pembinaan baharu institusi pendidikan Islam juga tidak pernah diabaikan oleh Kerajaan Negeri melalui pembinaan beberapa buah lagi sekolah agama.

“Kerajaan Negeri juga telah memberikan bantuan khas kewangan di bawah Pakej Bantuan Khas (Penang Lawan COVID-19) dengan jumlah RM1.095 juta sebagai bantuan langsung kepada pihak-pihak terlibat yang berdaftar dengan JHEAIPP,” katanya.

Beliau dalam pada itu, turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian negeri Pulau Pinang dalam memacu pembangunan wanita dalam aspek kepimpinan dan ekonomi.

“Sidang Wanita pertama di Malaysia iaitu satu simulasi DUN Pulau Pinang diadakan pada tahun 2020 untuk merapatkan jurang gender dalam bidang politik yang mana 40 peserta telah dipilih untuk menghadiri persidangan ini.

“Pada tahun ini juga, Sidang Wanita 2021 akan diteruskan pelaksanannya menerusi persidangan secara atas talian.

“Selain itu, Pulau Pinang juga sedang berusaha dan mempertingkatkan penelitian untuk memperkenalkan inisiatif Top-Up Woman-Only Additional Seats (TWOAS) bagi memastikan 30 peratus perwakilan Wanita di peringkat DUN,” jelasnya.

Difahamkan, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan DUN Ke-14 yang bermula hari ini hingga 9 September ini kembali diadakan di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini selepas ditutup selama selama dua tahun bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN