TYT harap cadangan pembinaan Dewan Undangan Negeri baharu dapat direalisasi

GEORGE TOWN – Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Rahman berharap agar cadangan untuk membina sebuah bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu akan diteruskan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata, pembinaan bangunan DUN baharu itu adalah penting untuk memberikan keselesaan sidang selain dapat menampung jumlah wakil rakyat, pegawai-pegawai bertugas serta para mengamal media.

“Saya amat berharap supaya Kerajaan Negeri dapat meneruskan idea yang telah dibangkitkan di dalam Dewan Yang Mulia ini pada tahun 2015 dan juga tahun 2019 yang lalu untuk mendirikan bangunan DUN Pulau Pinang yang baharu.

TYT ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan DUN Pulau Pinang Ke-14 di sini pagi tadi.

“Semoga dengan wujudnya bangunan yang baharu kelak, fungsi dan keberkesanan DUN serta jawatankuasa-jawatankuasa di bawahnya dapat dipertingkatkan.

“Adalah menjadi harapan saya juga agar bangunan baru tersebut akan menjadi mercu tanda kemegahan rakyat dan negeri ini dalam mendokong sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan di negara kita,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Raza Jaafar; Ketua Pembangkang, Dato’ Muhamad Yusoff Mohd. Noor; Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; Ahli-ahli Exco serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pada tahun 2015, mantan TYT, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas telah mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan cadangan untuk membina sebuah bangunan DUN yang baru di bekas tapak pelupusan sampah dekat Parlimen Jelutong, demi memenuhi keperluan masa depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid bergambar dengan bendera Jalur Gemilang di hadapan bangunan DUN.

Menurut beliau, cadangan tersebut adalah wajar memandangkan dewan yang mula dibuka pada tahun 1959 tersebut direkabentuk untuk menampung keperluan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kini bertambah menjadi 40 orang.

Justeru, Ahmad Fuzi berharap agar seluruh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dapat mengambil tindakan susulan bagi merealisasikan cadangan tersebut.

“YAB Ketua Menteri dan barisan Ahli Exco serta pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berkaitan dapat mengambil tindakan susulan sewajarnya bagi merealisasikan hasrat bersama kita ini,” serunya lagi.

Difahamkan, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan DUN Ke-14 yang bermula hari ini hingga 9 September ini kembali diadakan di bangunan Dewan Undangan Negeri selepas ditutup selama dua tahun bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

Kesemua 40 ADUN termasuk daripada kerajaan dan pembangkang hadir menyertai majlis perasmian persidangan pada hari ini yang diadakan secara ringkas tanpa istiadat kawalan kehormat bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi.

Malah, jumlah jemputan akan dihadkan hanya kepada wakil rakyat, ketua-ketua jabatan serta petugas yang diperlukan sahaja bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.

Selain Buletin Mutiara, pihak media lain tidak dibenarkan hadir untuk membuat liputan dan dinasihati mengikuti persidangan secara langsung melalui pensriman langsung di laman sesawang rasmi DUN atau laman Facebook.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN