Ketua Briged Wanita sebagai jawatankuasa tambahan JKKK

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon menyatakan bahawa beliau sedia menerima dan melakukan pembaharuan dinamik demi memantapkan organisasi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) seiring dengan peredaran masa.

Berucap pada Majlis Perasmian Kursus Penyediaan Profil Komuniti Pemantapan dan Pengukuhan JKKK 2015 Daerah Timur Laut, Mohd. Rashid turut memuji usaha beberapa JKKK yang sudah dilihat ke hadapan selaras dengan kemajuan teknologi maklumat.

“Penyediaan profil ini, kita lihat, merupakan suatu mekanisme yang positif dalam menyediakan data-data sesuatu komuniti seperti komposisi kaum, jumlah rumah ibadat, keluarga kurang mampu, orang kurang upaya (OKU) dan segala maklumat yang
diperlukan oleh Kerajaan Negeri untuk penyaluran bantuan serta demi kepentingan kebajikan rakyat.

“Saya ingin memuji barisan JKKK yang ada, kerana anda semua sanggup bekerja secara sukarela dengan tekun dan rajin walaupun anda tidak dibayar gaji seperti pekerja-pekerja lain (hanya elaun),” ucap beliau di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, bagi memperkasakan organisasi tersebut, Mohd. Rashid kini menggalakkan setiap JKKK supaya cuba mencipta aplikasi sendiri bagi memudahkan orang awam mengetahui keistimewaan sesebuah komuniti setempat berkaitan.

“Kita ambil contoh sekiranya pelancong asing google mengenai tempat pelancongan atau makanan yang lazat, di situ dia  (pelancong) boleh jumpa maklumat berkenaan tarikan di kawasan JKKK berkaitan dan terus menghubungi ahli-ahli jawatankuasa terbabit bagi memudahkan pencarian,” ujar beliau.

Menurutnya, pihaknya kini berada pada peringkat akhir bagi mensyaratkan pelantikan Ketua Briged Wanita untuk diserapkan dalam 15 jawatankuasa JKKK bagi setiap kawasan di sini.

“Maknanya, sekarang kita punyai 15 orang JKKK yang dilantik, dengan penambahan seorang Ketua Briged Wanita, ia akan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 16 orang.

“Pelaksanaan tersebut juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memperbanyakkan penglibatan golongan wanita di dalam aktiviti-aktiviti di sini,” jelas Mohd. Rashid.

} else {