Naiktaraf Kompleks Makanan Padang Brown, fasa akhir

KOMTAR – Seramai 54 pemilik lot gerai Kompleks Makanan Taman Brown Datuk Keramat kini mampu menarik nafas lega setelah projek naiktaraf lokasi makanan popular berkenaan mencapai kemajuan kerja 95.90 peratus.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang mengadakan lawatan tapak ke lokasi berkaitan berkata, projek menaiktaraf kompleks makanan tersebut memasuki fasa akhir merangkumi pembinaan tandas, surau, bilik menyusu, laluan basikal serta landskap.

“Projek bernilai RM2,620,110.40 ini melibatkan perobohan bangunan lama, pembinaan lot kedai sementara dan mendirikan binaan baru bagi kemudahan dan keselesaan peniaga di sini.

“Oleh demikian, terdapat beberapa kelewatan berlaku. Namun, kita (Kerajaan Negeri) percaya pihak kontraktor, Arza Aktif Enterprise akan berjaya mematuhi lanjutan masa (EOT) diberikan,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Jadual asal siap naiktaraf kompleks terbabit adalah pada 31 Mac 2015.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

Menurut Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota, antara sebabsebab munasabah EOT diberikan adalah berkenaan skop kerja
penambahbaikan iaitu tambahan tempat makan di hadapan gerai, depo sampah tertutup (depo sampah sedia ada terbuka yang dianggap tidak bersih).

Punca kedua adalah berkenaan kelewatan pemindahan para peniaga dari lot kedai sementara ke lot kedai baru.