Ketua Menteri akui tidak tahu soalan penyiasat SPRM Selasa nanti

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi tadi mengakui bahawa beliau sendiri tidak tahu perkara serta soalan yang akan diutarakan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari Selasa ini.

Namun, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi sekali lagi menyatakan komitmen untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM dalam isu berkaitan projek terowong dasar laut dari semasa ke semasa.

“Saya tidak tahu soalan apa yang akan diajukan terhadap saya.

“Saya belum pernah dipanggil sebelum ini, (dan) (Selasa ini) ini adalah kali pertama saya akan memberi keterangan kepada penyiasat SPRM,” katanya sebagai respons kepada pemberita sejurus merasmikan Majlis Pelancaran Program GrabMart Peringkat Pasar Chowrasta dekat Bilik Kaca, Pasar Awam Chowrasta di sini pada 5 Julai 2020.

Turut serta, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan Pengurus Grab Wilayah Utara dan Pantai Timur, Teoh Tsin Yok.

Terdahulu, bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) ditahan reman selamat empat hari bagi membantu penyiasatan SPRM, sebelum dibebaskan pada semalam dengan ikat jamin sebanyak RM100,000.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING