Rebut diskaun RM5 ‘Pasar by GrabMart’ di Chowrasta – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Mulai 7 Julai ini, kira-kira 6,000 penjawat awam yang bertugas di Komtar bakal menikmati kad promosi RM5 untuk traksaksi kali pertama dengan menggunakan applikasi pintar ‘Pasar by GrabMart’.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya memperuntukkan RM30,000 insentif dana untuk mempercepatkan lagi aktiviti perniagaan secara dalam talian di negeri ini.

“Promosi dalam bentuk diskaun RM5 untuk transaksi kali pertama menggunakan platform (‘Pasar by GrabMart’) ini.

“Tawaran ini adalah sehingga 31 Julai (2020) sahaja ataupun sehingga dana (RM30,000 yang diperuntukan oleh Kerjaaan Negeri) ini habis digunakan oleh pembeli.

“Ini, suatu inisiatif untuk mempercepatkan lagi penggunaan (instrumen) digital dalam ekonomi dan perniagaan,” jelasnya dalam Majlis Pelancaran Program GrabMart Peringkat Pasar Chowrasta dekat Bilik Kaca, Pasar Awam Chowrasta di sini pada 5 Julai 2020.

Turut berucap, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat dan Pengurus Grab Wilayah Utara dan Pantai Timur, Teoh Tsin Yok.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut sertai acara promosi tersebut.

Menurut Jagdeep, setakat ini sebanyak empat gerai penjaja di Pasar Awam Chowrasta telah menyertai program ‘Pasar by GrabMart’.

“(‘Pasar by GrabMart’) ini adalah pertama di Pulau Pinang… kita (Kerajaan Negeri) bersama-sama kedua-dua PBT (pihak berkuasa tempatan) dan Grab akan bekerjasama dalam memperluaskan usaha pendigitalan perniagaan di pasar-pasar awam lain di negeri ini,” ulasnya.

Dalam pada itu, Tsin Yok memberitahu bahawa Pasar Awam Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dekat Selangor merupakan yang pertama memanfaatkan ‘Pasar by GrabMart’, bermula pada bulan Mac lepas iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh negara.

“Sejak bulan Mac (2020), jumlah rakan (yang menyertai) ‘Pasar by GrabMart’) telah meningkat tiga kali ganda, dengan salah seorang daripada mereka (penjaja) berkongsi (pengalaman) bahawa pernah menerima lebih 40 pesanan hanya dalam tempoh masa 15 minit.

“Kalau kita menggunakan e-Wallet, kita masih perlu ke pasar melakukan transaksi tanpa tunai, tetapi (‘Pasar by) GrabMart’) boleh dikatakan selangkah lagi ke depan iaitu dengan tidak perlu datang ke (Pasar Awam) Chowrasta selain transaksi tanpa tunai,” ujarnya sambil menganggap aplikasi pintar tersebut turut menyumbang kepada usaha dalam memutuskan semua rantaian perebakan wabak COVID-19 kini.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Tsin Yok menyatakan bahawa kemudahan digital ‘Pasar by GrabMart’ dalam masa terdekat akan diperluaskan lagi ke dua pasar awam lain dekat Batu Lancang dan Bayan Baru.

Mengulas lanjut, Rozali berkata bahawa pihaknya turut mengenal pasti lima pasar awam lain di bahagian Seberang Perai untuk menggunakan aplikasi ‘Pasar by GrabMart’, iaitu di Bagan Ajam, Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Bandar Tasek Mutiara dan Perkampungan Baru Juru.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING