Ketua Menteri harap 200 sertai konvoi motosikal merdeka bawa mesej keharmonian rakyat

Admin
KETUA Menteri (tiga dari kiri) diiringi Lim Siew Khim (dua dari kiri) turut menyampaikan cek replika RM1,000 sumbangan atas penganjuran konvoi motosikal berkenaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid AlBukhary Bandar Sri Pinang di sini pada awal pagi tadi.

SUNGAI PINANG – Lebih 200 peserta daripada pelbagai pertubuhan dan agensi kerajaan menyertai Konvoi Motosikal ‘Jaulah Merdeka Pengimarahan Takmir Pulau Pinang @ Khaira Ummah 2030’ dari perkarangan Masjid AlBukhary Bandar Sri Pinang pada pagi ini.

Mereka dijadualkan menjelajah dan singgah di 11 masjid terpilih meliputi kelima-lima daerah di negeri ini.

Sebelum menyempurnakan acara pelepasan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam ucapannya berharap program konvoi tersebut selain membawa mesej kemerdekaan, turut menyemarak lagi semangat muhibah dalam kalangan penduduk Pulau Pinang yang berbilang kaum.

“Semoga program ini dan lain-lain program sepanjang bulan kemerdekaan yang dianjurkan di negeri Pulau Pinang dan negara Malaysia bukan sahaja dapat mengingatkan kita tentang perjuangan mencapai kemerdekaan.

“Malah, yang lebih penting adalah semangat kemerdekaan pada hari ini yang merangkumi intipati keharmonian, silaturahim, toleransi, faham tentang budaya agama semua rakyat Pulau Pinang serta hidup aman dan damai demi memajukan negeri serta negara Malaysia,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam majlis berkaitan di sini pada 20 Ogos 2022.

Sebelum itu, turut berucap ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Khairul Azman Azizan dan Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Buqhary.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim turut menyertai acara pelepasan konvoi motorsikal tersebut.

Sebelum meninggalkan majlis, Kon Yeow dan Siew Khim dengan diiringi jawatankuasa kariah masjid turut meluangkan masa melawat ruang dalam bangunan Masjid Albukhary Bandar Sri Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS