Ketua Menteri harap Bajet Persekutuan 2023 pertimbang ‘projek keutamaan’ Pulau Pinang

Admin
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di sini pada tengah hari tadi (26 Januari 2023).

PADANG KOTA – Bajet Persekutuan 2023 yang disemak semula serta akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 24 Februari nanti diharap turut mempertimbangkan beberapa cadangan projek keutamaan peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek-projek keutamaan yang dimaksudkan pada peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang selama ini termasuk cadangan pelaksanaan Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar-Bayan Lepas.

“(Kerajaan Negeri Pulau Pinang) harap Perdana Menteri (Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan) dapat menghargai sumbangan negeri Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang memang sudah kemukakan keutamaan projek untuk dipertimbangkan (dalam Bajet Persekutuan 2023) dan antaranya sudah semestinya LRT yang merupakan projek yang kita harap,” jelasnya selepas berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota di Lee Sih Chong Soo, Jalan Burma delat sini pada 26 Januari 2023.

KETUA Menteri (lima dari kiri) bersama-sama barisan pemimpin lain dalam majlis menggaul ‘yee sang’ sempena penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PeringkaT KADUN Padang Kota di sini pada 26 Januari 2023.

Menurut Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkenaan lagi, LRT Komtar-Bayan Lepas dan beberapa projek keutamaan dicadangkan oleh pentadbirannya itu bukan sahaja memberi limpahan kemakmuran ekonomi untuk Pulau Pinang, malah juga negeri-negeri lain sekitar wilayah utara Semenanjung Malaysia.

“Banyak agensi negeri dan (agensi Persekutuan) termasuk NCER (Wilayah Ekonomi Koridor Utara) juga ada mengemukakan projek-projek untuk dipertimbangkan.

“Kesemua projek (yang dianggap keutamaan) ini harus dilihat bukan dari sudut kepentingan negeri Pulau Pinang sahaja, tetapi seluruh wilayah utara (Semenanjung Malaysia),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow memberitahu bahawa Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebagai agensi Persekutuan sendiri umpamanya turut mencadangkan pelaksanaan ‘express highway’ baharu di negeri Pulau Pinang, bagi dipertimbangkan dalam Bajet Persekutuan 2023.

“NCIA telah memberitahu saya bahawa mereka juga turut akan kemukakan projek ‘elevated highway’ dari Juru ke Sungai Dua sebab bahagian (jalan raya sedia ada) menghadapi kesesakan yang amat genting pada ketika ini.

“Maka, kita (Pulau Pinang) berharap daripada banyak projek yang dikemukakan, semestinya tidak mungkin kita dapat semua, tetapi cuba menimbang projek-projek keutamaan yang dapat membawa impak positif kepada pembangunan wilayah (utara Semenanjung Malaysia) dan negeri Pulau Pinang,” ulasnya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut mengulas kenyataan Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu semalam, iaitu ura-ura mengadakan perbincangan dengan tiga negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) bagi menetapkan supaya tarikh pilihan raya negeri (PRN) secara serentak bersama Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Dalam reaksi spontan, Kon Yeow atas kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang mengaku bahawa beliau langsung tidak menerima jemputan rasmi untuk menghadiri mensyuarat berkaitan sebagaimana diisyaratkan.

“Namun, (Mesyuarat) Majlis (Raja-Raja) akan datang diadakan secara rasmi pada minggu sebelum pembentangan belanjawan, iaitu Mesyuarat Majlis Raja-Raja (selain) Mesyuarat Ketua Menteri dan Menteri Besar dengan Perdana Menteri juga akan berlangsung pada minggu itu juga,” katanya yang juga Pengerusi PH Negeri Pulau Pinang.

Tambah beliau, sebelum ini, PH negeri memang pernah berbincang cadangan supaya PRN di kesemua enam negeri termasuk Pulau Pinang diadakan secara serentak.

“Memang kita ada bincang seragamkan dan selaraskan tarikh PRN di negeri-negeri di bawah pentadbiran PH dan PN (Parikatan Nasional termasuk PAS)…sebaiknya diadakan pada tarikh dan tempoh masa sama,” jelasnya lanjut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD