Ketua Menteri harap ‘Tahun Arnab’ turut pulih ekonomi negeri, makmurkan rakyat

KETUA Menteri (lima dari kiri) bersama-sama barisan pemimpin lain dalam majlis menggaul ‘yee sang’ sempena penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PeringkaT KADUN Padang Kota di sini pada 26 Januari 2023.

PADANG KOTA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa beliau berharap kehadiran Tahun Baru Cina iaitu ‘Tahun Arnab’ (mengikut zodiak kalendar Cina) bukan sahaja menyemarak kemakmuran hidup serta mengeratkan lagi perpaduan rakyat berbilang kaum, malah juga menjadi tahun pemulihan ekonomi negeri serta memakmurkan kehidupan rakyat.

KETUA Menteri

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota di Lee Sih Chong Soo, Jalan Burma dekat sini pada 26 Januari 2023.

“Saya berharap sambutan ini bukan sekadar sambutan Tahun Baru Cina, tetapi suatu kesempatan untuk menyambut (proses) pemulihan negeri Pulau Pinang daripada pandemik COVID-19.

“Kita akan menghadapi cabaran-cabaran seterusnya dengan semangat perpaduan (serta) dengan semangat untuk memajukan negeri Pulau Pinang.

“Semoga tahun ini (Tahun Arnab), kita terus maju ke hadapan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Dato’ Ar. Yew Tung Seang merupakan antara ratusan hadirin yang menyertai majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD