Ketua Menteri harap rakyat bangkit semula bersama kempen ‘❤️PENANG’

KETUA Menteri (depan, kiri) turut menyempurnakan acara menanam anak pokok durian, semasa Jelajah ❤️Penang Ke Parlimen Nibong Tebal di Tasek, Simpang Ampat di sini pada awal pagi tadi.

SUNGAI BAKAP – Dengan tema kempen ‘❤️PENANG’ yang dilancarkan peringkat negeri, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap sekalian rakyat di negeri ini terus bersemangat untuk bangkit kembali demi memperbaiki sosioekonomi masing-masing yang terjejas lebih dua tahun akibat pandemik COVID-19 sebelum ini.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Anak Pokok Durian Kepada Komuniti Rakyat Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Bakap oleh Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang bersempena program Jelajah Ketua Menteri ‘❤️PENANG’ Ke Parlimen Nibong Tebal awal pagi tadi.

“Tujuan utama inisiatif ‘❤️PENANG’ adalah suatu seruan kepada semua pihak di negeri Pulau Pinang baik pentadbir Kerajaan mahupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan-badan sukarela, persatuan-persatuan penduduk komuniti sehingga kelompok peniaga-peniaga, penggerak industri dan individu-individu supaya saling bersatu untuk bangkit semula daripada apa yang kita alami selama hampir dua tahun akibat pandemik COVID-19,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong dalam majlis berkaitan di perkarangan Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tasek, Simpang Ampat dekat sini pada 2 Ogos 2022.

Di samping itu, Kon Yeow memberitahu bahawa sebelum kawasan Parlimen Balik Pulau terkenal dengan pelbagai baka durian, Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini seperti Relau, Junjung, Sungai Kechik dan Kampung 300 kaki juga merupakan antara kawasan terkenal dengan durian baka duri hitam.

Mengambil semangat tersebut, beliau berharap inisiatif Jabatan Pertanian Negeri menganjurkan program penyerahan anak pokok durian, anak pokok kelapa pandan dan set pertanian bandar kepada komuniti lokal sekali gus dapat menjana pendapatan kelompok berkenaan pada masa hadapan.

Berucap sebelum itu, ADUN Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Jabatan Pertanian Negeri kerana mengadakan program agihan 150 anak pokok kelapa pandan, 100 anak pokok durian ‘duri hitam’ serta ‘Musang King’ dan set pertanian bandar kepada komuniti lokal terpilih.

ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye dan Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, ADUN Bukit Tambun, merangkap ‘ADUN Angkat’ Sungai Acheh, Goh Choon Aik, Mohd. Muhaimin Ibrahim dan beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai acara tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI