Pengunjung Taman Botani sokong inisiatif AED di tempat riadah

PADA tanggal 24 Julai lepas, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow secara rasminya mengisytiharkan Taman Botani Pulau Pinang sebagai ‘Heart Safe Park’ dengan pemasangan lima unit alat Defibrillator Luaran Automatik atau lebih dikenali sebagai Automated External Defibrillators (AED).

AED merupakan satu peralatan elektronik mudah alih yang digunakan secara meluas sebagai pertolongan cemas awal kepada individu yang terkena serangan jantung sebelum bantuan perubatan yang sebenar tiba ke lokasi.

Susulan itu, Buletin Mutiara melalui penulisnya, WATAWA NATAF ZULKIFLI  dan jurufoto, DARWINA MOHD. DAUD  meninjau dan bertemu dengan pengunjung di Taman Botani untuk bertanyakan pandangan mereka mengenai pemasangan alat tersebut.

 

Selaku pengunjung tetap Taman Botani, G. SELVARAJU amat bersetuju dengan pemasangan AED di kawasan tumpuan bersukan dan riadah berkenaan.

 

 

“Dekat sini ramai orang terdiri daripada pelbagai lapisan umur terutamanya warga emas, jadi AED ini menjadi satu keperluan yang amat penting,” katanya yang merupakan seorang pesara.

Sementara itu, pemilik sebuah restoran nasi kandar terkenal di Pulau Pinang, MOHD. RAFFE MOHD. YUSOF turut senada dengan sahabatnya, Selvaraju itu.

“Kami di sini memang hari-hari, jadi penambahan AED di kawasan ini amat dialu-alukan sebagai persediaan dan perlindungan awal, kerana serangan jantung bukanlah sesuatu yang mudah diduga,” jelasnya yang sering beriadah di Taman Botani pada waktu pagi.

 

Seorang kakitangan Taman Botani, ZAMZURI NOOR turut menyokong tindakan pemasangan AED di Taman Botani selepas terdapat kes kehilangan nyawa di lokasi itu beberapa tahun sebelum ini.

 

 

“Seingat saya memang pernah ada kes kematian waktu bersenam, dia tengah berlari, rebah dan meninggal, disyaki masalah jantung.

 

 

“Sekiranya masa itu terdapat AED mungkin kita boleh selamatkan nyawa dia dan orang ramai pun seharusnya perlu ambil tahu mengenai penggunaan yang betul alat tersebut supaya ia tidak menjadi sia-sia,” katanya yang sudah 40 tahun menabur bakti di Taman Botani.

 

Bagi pasangan suami isteri, AZWAN AJIT dan  SYAJARATULHUDA ROSLI yang kerap mengunjungi Taman Botani turut menyokong pemasangan AED.

“Cuma nasihat saya kalau boleh berlarilah ikut kemampuan diri sendiri, kalau memaksa diri bimbang terpaksa gunakan mesin AED tersebut, sebab kita tahu kalau boleh semua orang nak elak daripada menggunakannya,” ulasnya yang bertugas dalam sektor awam.

Manakala, Syajaratulhuda yang bertugas sebagai pengamal media juga bersetuju ekoran pelbagai lapisan masyarakat dengan keadaan kesihatan berbeza dapat dilihat menjadi pengunjung utama taman itu.

“Ada pengunjung yang mengalami angin ahmar tetap datang beriadah di sini, jadi wujudnya AED di sini mampu memberi pertolongan awal sementara menunggu bantuan ambulans tiba,” ujarnya.

 

 

Rata-rata pengunjung Taman Botani yang ditemui di Taman Botani menyifatkan inisiatif Kerajaan Negeri menempatkan AED sebagai langkah terbaik dalam membantu menyelamatkan nyawa individu yang terkena serangan jantung.

 

Malah, pada Mac 2022 lalu, Kerajaan Persekutuan menyarankan pemasangan AED wajib di semua fasiliti awam menjelang tahun 2025.

 

Sebagai rekod, sehingga Mei 2022, di Pulau Pinang, sebanyak 160 unit AED telah dipasang di bahagian pulau sahaja, termasuk di pasar awam dan sekolah rendah terpilih.