Ketua Menteri harap RM67 juta anggaran naik taraf Stadium Negeri Batu Kawan lulus dalam RMK-12

Admin

BUKIT TAMBUN – Perbadanan Stadium dan Tanah Lapang Pulau Pinang memerlukan kira-kira RM67 juta untuk kerja-kerja penarafan infrastruktur Stadium Negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga pengerusi perbadanan berharap peruntukan yang diperlukan itu turut dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

KETUA Menteri meneliti keadaan balapan pada Stadium Negeri Batu Kawan.

“Perbadanan telah buat permohonan melalui Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) untuk mendapatkan peruntukan (Persekutuan) di bawah RMK-12.

“Kalau bukan RM67 juta pun, kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) berharap ada berita baik, sebahagian besar daripada jumlah itu (RM67 juta) adalah untuk tujuan-tujuan yang mendesak dan adalah diharap ia dapat diluluskan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota ketika acara perasmian logo baharu Perbadanan Stadium dan Tanah Lapang Pulau Pinang dekat Stadium Negeri di sini pada 20 Jun 2020.

MOHAMED Akbar Mustapha

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium dan Tanah Lapang Pulau Pinang, Mohamed Akbar Mustapha turut sertai acara tersebut.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Harry Chai Heng Hua dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintendan Lee Chong Chern.

Selain Stadium Negeri Batu Kawan, Kon Yeow memberitahu bahawa beberapa aset berkaitan Kerajaan Negeri lain seperti Dewan Millenium Kepala Batas; Kompleks Renang Seberang Jaya; Kompleks Sony; Kompleks Sukan Balik Pulau dan beberapa taman rekreasi diletakkan di bawah pengurusan Perbadanan Stadium dan Tanah Lapang Pulau Pinang.

“Sejak bulan Januari (2020), perbadanan mula berfungsi dengan beberapa rancangan yang dibentangkan kepada lembaga pengarah dan mendapat kelulusan.

“Memandangkan ini suatu bidang kuasa baharu, perbadanan baharu, maka sokongan semua pihak termasuk Kerajaan Negeri daripada segi menyalurkan peruntukan adalah penting.

“Kita (perbadanan) pun sudah mula dua tiga projek, salah satu projek adalah mewujudkan sebuah taman kejiranan di Lebuh Sungai Pinang Tujuh dengan perbelanjaan RM1.6 juta.

“(Projek kebun kejiranan) itu akan menjadi satu contoh yang mana tanah lapang dapat ditransformasikan sebagai taman kejiranan dengan wajah serta landskap menarik untuk dinikmati komuniti setempat.

“Penubuhan Perbadanan Stadium dan Tanah Lapang akhirnya telah menjadi kenyataan melalui Enakmen Perbadanan Stadium dan Tanah Lapang,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan atas perancangan strategik yang dibentangkan oleh Mohamed Akbar.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : CHAN KOK KUAN