Ketua Menteri harap RMM yang dilaksana tingkatkan lagi kualiti hidup rakyat

Admin

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berharap rumah mampu milik (RMM) yang siap dibina oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dapat meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat di negeri ini.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian sebelum menyempurnakan acara penyerahan kunci projek RMM Dua Residensi Teluk Kumbar di sini pada pagi tadi.

Menurut beliau, lebih 350 unit daripada keseluruhan 694 buah kediaman pelbagai kategori yang siap dibina oleh agensi negeri tersebut di sini telah berjaya dijual sungguhpun pasaran hartanah negeri masih mencabar dek pandemik COVID-19 ketika ini.

“Adalah menjadi harapan saya bahawa dengan terlaksananya projek-projek RMM yang telah dirancang dengan teliti ini, maka warga Pulau Pinang secara amnya akan dapat memiliki kediaman sendiri serta menikmati kualiti hidup yang lebih baik serta terjamin,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada majlis berkaitan.

KEDIAMAN contoh Residensi Dua Teluk Kumbar yang dibina oleh PDC.

Difahamkan, sejak tahun 2013, Kerajaan Negeri dan PDC giat memberi tumpuan terhadap pembekalan RMM di bawah siling harga yang mampu dibeli oleh rakyat kebanyakan.

Selain di Residensi Dua Teluk Kumbar, acara penyerahan kunci bagi 520 unit projek Suria 1 dekat Bandar Cassia Batu Kawan kepada para pembeli yang layak telah dibuat pada Mei 2008.

Sementara 707 unit lain bagi projek Jiran Residensi dekat Butterworth dijangka memperoleh sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) pada awal bulan Januari 2021.

Tambah Kon Yeow, ketika ini juga, PDC sedang menyiapkan 348 unit kediaman bagi projek Cecil Residensi dekat George Town dan Mak Mandin Residensi dekat Butterworth yang mana tahap pemajuan masing-masing adalah 21 peratus dan 3 peratus.

“Di bawah PDC, sebanyak 26,616 unit telah disediakan iaitu 3,307 unit siap dibina, 2,947 unit sedang dibina dan 15,230 unit dalam perancangan (untuk dibina),” ujarnya lagi yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

JAGDEEP Singh Deo (tengah) memberi penjelasan kepada Ketua Menteri (kiri) mengenai elemen rekabentuk baharu RMM yang dibina oleh PDC untuk meningkatkan daya huni rakyat, sambil diperhatikan oleh Mohd. Bazid Abd. Kahar di kamar utama kediaman contoh Residensi Dua Teluk Kumbar di sini pada pagi tadi.

Berucap pada majlis sama, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa jumlah RMM pelbagai kategori yang dimajukan oleh agensi negeri dan firma-firma pemaju bukan kerajaan lain sehingga kini adalah sebanyak 106,742 unit.

Daripada jumlah tersebut, kata beliau, 34,388 unit telah siap dibina, 20,180 sedang dibina dan 52,174 unit projek telah diluluskan untuk pelaksanaan.

Daripada angka itu juga, Jagdeep memberitahu bahawa 26,161 unit RMM Jenis A, Jenis B (26,995) dan Jenis C (54,131) dengan tawaran harga masing-masing adalah RM42,000, RM72,500 dan bawah RM300,000.

“Kerajaan Negeri juga bukan sahaja mengawal (siling) harga rumah, malah saiz rumah.

“Kita (Pulau Pinang) tidak mahu seperti negara lain yang mana mereka kata boleh membekalkan rumah mampu milik (RMM) tapi rumah yang dibekalkan dengan keluasan lantai (sesempit) 300 kaki persegi sahaja, umpamanya di Hong Kong seluas 500 kaki persegi, begitu juga di Singapura,” ulasnya yang juga ADUN Datuk Keramat.

Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Abdul Halim Hussain yang juga ADUN Batu Maung; ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar turut sertai acara ringkas tersebut.

Salah seorang pembeli, M. Krishnan, 59, yang ditemui antara lain menyatakan bahawa pada hujung tahun ini beliau akan bersara wajib.

Bagi beliau, RMM yang dibina oleh PDC bukan sahaja menepati reka bentuk moden diimpikan, bahkan, turut dilengkapi pelbagai kelengkapan tambahan seumpama kondominum yang dibina oleh firma swasta.

“Saya berasa begitu bertuah kerana dipilih membeli unit kediaman di sini.

“Ini rumah pertama saya, menjadi tempat saya sekeluarga menikmati hidup yang lebih berkualiti,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow.

Nada sama turut diluahkan oleh seorang lagi penerima, Salasiah Hitam, 56.

“Saya adalah ibu tunggal, masih bekerja di kilang BBraun, kami dipilih membeli rumah di sini kerana rumah asal kami telah dirobohkan kerana melibatkan tanah pihak bukan kerajaan.

“Dengan kelengkapan seperti parkir bertingkat, pelbagai fasiliti lain, moga-moga dapat memberi keselesaan kepada saya dan anak-anak yang ada masih kecil dan bersekolah,” jelasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING